Ahad, 16 Januari 2022 | 8:21am
Nino Cerruti. - Foto AFP
Nino Cerruti. - Foto AFP

Pelopor fesyen Itali, Nino Cerruti meninggal dunia

ROM: Pelopor industri fesyen Itali, Nino Cerruti dilaporkan meninggal dunia semalam pada usia 91 tahun.

Beliau meninggal dunia di hospital di bandar Vercelli, dekat wilayah barat laut Piedmont, selepas dimasukkan ke wad untuk pembedahan pinggul, lapor akhbar harian Itali, Corriere della Sera menerusi laman webnya.

Cerruti adalah salah seorang tokoh terkemuka dalam fesyen pakaian sedia pakai untuk lelaki pada abad ke-20, dengan sentuhan gaya elegan dan santai.

"Seorang daripada usahawan tersohor Itali telah meninggalkan kami," kata Timbalan Menteri bagi Pembangunan Ekonomi, Gilberto Pichetto.

Dilahirkan pada 1930 di Biella, Cerruti bercita-cita untuk menjadi seorang wartawan.

Bagaimanapun, selepas bapanya meninggal dunia ketika beliau berusia 20 tahun, Cerruti terpaksa melepaskan pengajian falsafah untuk mengambil alih kilang tekstil keluarga.

Sekitar 1960-an, beliau bertemu Giorgio Armani yang melantiknya sebagai pereka fesyen pakaian lelaki.

Kedua-dua tokoh ini merekodkan pencapaian besar dalam industri fesyen sebelum Armani bergerak sendiri dengan pembukaan butiknya pada 1975.

Cerruti pula membuka butik pertamanya di Paris pada 1967 dengan melancarkan jenama mewahnya yang mahsyur di peringkat global.

Beliau banyak terbabit dalam rekaan pakaian bintang Hollywood pada zaman kegemilangannya dan memperkenalkan 'gaya kasual' untuk fesyen lelaki apabila tampil dengan rekaan jaket pertama pada 1970-an. - AFP

Berita Harian X