Sabtu, 15 Januari 2022 | 12:28pm
Perdana Menteri Britain, Boris Johnson. - Foto AFP
Perdana Menteri Britain, Boris Johnson. - Foto AFP

PM Britain batal pelan B sekatan COVID-19

LONDON: Perdana Menteri, Boris Johnson bersedia untuk menarik balik sekatan COVID-19 pelan B di England, selepas saintis kerajaan memberi amaran mengenai pembatalan peraturan itu lebih awal.

Melalui laporan Telegraph semalam, panduan bekerja dari rumah yang dijangka dipraktik secara meluas di Dewan Putih dan penggunaan pasport COVID-19 akan ditarik semula bermula 26 Januari ini untuk England.

Sementara itu, beberapa peraturan lain seperti penggunaan pelitup muka masih dikekalkan dengan senarai pengumuman itu akan diberitahu minggu ini.

Semalam, kerajaan menyiarkan minit daripada mesyuarat Kumpulan Penasihat Saintifik untuk Kecemasan bertarikh 7 Januari lalu yang menjelaskan epidemik itu berpotensi untuk terus berkembang di seluruh negara.

Mereka juga memberi amaran jika terdapat halangan terhadap campur tangan sedia ada seperti Pelan B di England sebelum kemuncak jangkitan berlaku, ia boleh mengakibatkan wujudnya gelombang membabitkan kemasukan ke hospital.

Pelan B diperkenalkan bulan lalu untuk mengekang penyebaran varian Omicron, termasuk mengarahkan orang ramai bekerja dari rumah, pemakaian pelitup muka di tempat awam dan penggunaan pas COVID-19 untuk memasuki sesetengah tempat.

Minggu lalu, Johnson mengatakan, England berupaya menahan lonjakan jangkitan tanpa menutup ekonomi, dengan membangkang langkah penutupan yang ketat. - REUTERS

Berita Harian X