Sabtu, 15 Januari 2022 | 10:02am
Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Jen Psaki. - Foto AGENSI
Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Jen Psaki. - Foto AGENSI

Russia rancang pelan mewajarkan pencerobohan Ukraine - AS

KIEV: Amerika Syarikat (AS) semalam menuduh Russia menghantar individu terlatih dalam bahan letupan bagi tujuan sabotaj sebagai alasan untuk menyerang Ukraine.

Ia turut dikaitkan dengan laman web kerajaan Ukraine yang 'ditumbangkan' dalam serangan siber yang dikaitkan dengan Moscow.

Tuduhan dan insiden itu menyebabkan ketegangan mengenai Ukraine semakin meningkat hanya selepas seminggu rundingan antara Barat dan Russia diadakan mencari penyelesaian diplomatik.

Russia bertindak mengumpulkan kereta kebal, artileri dan puluhan ribu tentera berhampiran sempadan Ukraine bagi menuntut jaminan bahawa negara jirannya itu tidak akan sekali-kali menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Negara itu semalam mengumumkan kerjasama siber baharu dengan Kiev sebagai tindak balas terhadap serangan terbabit.

Rumah Putih melalui risikannya menemui maklumat bahawa Russia mengukuhkan kerja asas bagi mewujudkan alasan untuk pencerobohan dengan menyalahkan Ukraine.

"Kami mempunyai maklumat yang menunjukkan Russia menetapkan sekumpulan operasi untuk menjalankan operasi bendera palsu di timur Ukraine," kata Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Jen Psaki.

"Operasi itu dilatih dalam peperangan bandar dan menggunakan bahan letupan untuk melakukan tindakan sabotaj terhadap pasukan proksi Russia sendiri," katanya.

Psaki berkata, risikan AS percaya Russia akan memulakan operasinya itu beberapa minggu sebelum pencerobohan ketenteraan yang dijangka bermula antara pertengahan Januari hingga Februari.

Sementara itu, Russia menafikan rancangan untuk menyerang Ukraine, sekaligus menolak kenyataan terbaru AS itu.

Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov, menyifatkan tuduhan itu sebagai tidak berasas.

Susulan isyarat pencerobohan itu, pejabat kerajaan di seluruh Ukraine termasuk Kementerian Darurat, Kementerian Pendidikan dan Kabinet ditutup awal semalam.

Jurucakap Kementerian Luarnya, Oleg Nikolenko di Twitter berkata, Ukraine masih menjalankan siasatan tetapi terdapat petunjuk awal menyatakan kumpulan penggodam yang dikaitkan dengan perkhidmatan rahsia Russia mungkin berdiri di belakang serangan siber besar-besaran di laman web kerajaan. - AFP

Berita Harian X