Jumaat, 14 Januari 2022 | 7:00pm
Gambar hiasan. - Foto EPA
Gambar hiasan. - Foto EPA

Negara miskin tolak 100 juta dos vaksin COVID-19 hampir luput

BRUSSELS: Negara miskin menolak lebih 100 juta dos vaksin COVID-19 yang diedarkan menerusi program COVAX bulan lalu terutama kerana sudah hampir tarikh luput.

Menurut seorang pegawai Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) semalam, ketiadaan kemudahan peti sejuk bagi menyimpan vaksin turut menjadi punca penolakan itu.

Masalah itu membuktikan betapa sukarnya untuk mengagihkan vaksin kepada penduduk dunia meskipun bekalan suntikan semakin meningkat, dengan COVAX sendiri menyerahkan hampir satu bilion dos kepada 150 negara.

"Lebih 100 juta dos vaksin ditolak hanya pada bulan Disember saja," kata Pengarah Bahagian Bekalan di agensi PBB itu, Etleva Kadilli, dalam taklimat kepada Ahli Parlimen Eropah.

Beliau berkata, punca utama penolakan adalah jangka hayat vaksin yang singkat

Menurutnya, daripada 100 juta dos yang ditolak, sebanyak 15.5 juta terpaksa dimusnahkan selepas ditolak oleh beberapa negara.

UNICEF bagaimanapun tidak menjawab pertanyaan mengenai jumlah dos yang ditolak setakat ini, sebagai tambahan kepada yang ditolak pada Disember lalu.

Bulan lalu, seorang pegawai kanan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata negara kaya yang menderma vaksin dengan jangka hayat yang agak singkat menjadi 'masalah utama' program COVAX.

Banyak negara menimbulkan keraguan tahap tinggi terhadap vaksin meskipun sedang mengalami bebanan sistem penjagaan kesihatan.

Suruhanjaya Eropah berkata, menjelang akhir tahun lalu, EU menyediakan hampir 380 juta dos kepada negara miskin, dengan hanya 255 juta dihantar manakala banyak dos lain disimpan untuk digunakan di negara yang miskin tegar.

Sebuah badan amal, CARE, mendedahkan data UNICEF menunjukkan sebanyak 681 juta dos yang dihantar kini disimpan di kira-kira 90 negara yang miskin tegar dan lebih daripada 30 negara miskin.

Antaranya termasuk negeri besar seperti Republik Demokratik Congo dan Nigeria, yang menggunakan kurang separuh daripada dos yang mereka terima.

Jurucakap GAVI, sebuah badan yang mengurus vaksin bersama COVAX, berkata tahap penyimpanan yang tinggi disebabkan oleh lonjakan dalam penghantaran pada suku terakhir, terutamanya pada bulan lalu.

GAVI menyatakan bahawa kebanyakan vaksin yang dihantar oleh COVAX baru-baru ini mempunyai jangka hayat yang panjang dan disebabkan itu, ia tidak mungkin dibazirkan. - REUTERS

Berita Harian X