Jumaat, 14 Januari 2022 | 12:47pm

Sepanyol sediakan dos keempat vaksin COVID-19

MADRID: Sepanyol menyediakan dos keempat vaksin COVID-19 bagi golongan rentan, termasuk pesakit barah, mereka yang pernah menjalani pemindahan organ atau golongan sedang melalui rawatan dialisis.

Menurut Kementerian Kesihatan Sepanyol, semalam, dos terbabit akan diberikan lima bulan selepas suntikan dos ketiga.

Bagi keseluruhan populasi pula, pemberian dos ketiga kini meliputi golongan berumur 18 tahun dan ke atas, berbanding usia 40 tahun dan ke atas sebelum ini.

Dos ketiga diberikan lima bulan selepas suntikan dos kedua, berbanding sela masa enam bulan sebelum ini.

Sepanyol merupakan antara negara yang mendahului dalam kadar vaksinasi COVID-19 pada peringkat global, dengan 90.5 peratus daripada populasi berusia 12 tahun dan ke atas sudah menerima imunisasi itu, setakat ini.

Selain itu, negara ini juga telah memberi sekurang-kurang satu dos vaksin berkenaan kepada 38.5 peratus kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun.

Hingga kini, Sepanyol mencatat 7.7 juta jangkitan meliputi 90,508 kematian akibat COVID-19. - AFP

Berita Harian X