Rabu, 29 Disember 2021 | 7:13pm
Kira-kira 1,600 kelab di Perancis telah diarah tutup pada 6 Disember selama empat minggu. - Foto AFP
Kira-kira 1,600 kelab di Perancis telah diarah tutup pada 6 Disember selama empat minggu. - Foto AFP

Perancis kekal tutup operasi kelab malam

PARIS: Perancis hari ini kekal dengan keputusan untuk menutup pengoperasian kelab malam untuk tempoh tiga minggu, selepas negara itu merekodkan hampir 180,000 kes positif COVID-19 dalam tempoh 24 jam lalu, tertinggi sejak pandemik bermula.

Terdapat sekitar 1,600 kelab malam diarahkan ditutup pada 6 Disember lalu untuk empat minggu, dalam usaha mengekang gelombang jangkitan baharu yang dicetuskan sambutan dan perjalanan perayaan, didorong varian paling menular, Omicron.

Semalam, agensi kesihatan Perancis memaklumkan sebanyak 179,807 kes COVID-19 dilaporkan dalam tempoh 24 jam, berbanding 100,000 dicatatkan pada Sabtu lalu.

Menteri Pelancongan, Jean-Baptiste Lemoyne, ketika bercakap kepada radio Inter France berkata, keputusan untuk melanjutkan tempoh penutupan kelab malam kerana ia sebahagian siri langkah baharu diumumkan kerajaan minggu ini untuk mengekang penularan Omicron.

"Saya boleh bayangkan kesusahan majikan dan peniaga," katanya sambil menambah kerajaan akan menyalurkan bantuan kewangan bagi perniagaan yang menanggung kerugian besar pada sambutan perayaan.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Gerald Darmanin, pada minggu ini menggalakkan pegawai tempatan untuk mengehadkan jumlah hadirin untuk berkumpul sempena sambutan Tahun Baharu.

Katanya, mereka juga dikehendaki memakai pelitup hidung dan mulut di luar dan mengarahkan rondaan polis untuk menguatkuasakan larangan pengambilan minuman alkohol di tempat awam pada malam itu.

Parlimen akan mula bersidang hari ini bagi membahaskan mengenai undang-undang baharu berhubung keperluan pas vaksin untuk memasuki restoran, panggung wayang, muzium dan tempat awam lain, sebagai galakan orang awam mengambil suntikan vaksin COVID-19.

Perancis antara negara yang merekodkan kadar vaksinasi tertinggi di dunia mencakupi 90 peratus populasi layak menerima pelalian itu.

Pengenalan pas kesihatan sebelum ini juga boleh diperolehi dengan menunjukkan bukti ujian COVID-19 sekiranya individu itu tidak divaksinasi. - AFP

Berita Harian X