Selasa, 28 Disember 2021 | 12:32pm
Perdana Menteri Perancis, Jean Castex (kiri) bersama Menteri Kesihatan, Olivier Veran pada sidang media di Paris. - Foto AFP
Perdana Menteri Perancis, Jean Castex (kiri) bersama Menteri Kesihatan, Olivier Veran pada sidang media di Paris. - Foto AFP

Perancis sekat kebebasan golongan tidak divaksin mulai Januari

PARIS: Tiada sebarang perintah berkurung dikenakan ketika sambutan malam Tahun Baharu, tetapi sekatan akan diperketat terhadap golongan tidak divaksin daripada memasuki tempat awam mulai pertengahan Januari ini.

Perdana Menteri, Jean Castex mengumumkan langkah membendung peningkatan kes COVID-19 dan varian Omicron, sejurus selepas mengadakan mesyuarat kesihatan tergempar berikutan peningkatan kes COVID sebanyak 100,000.

Langkah-langkah itu termasuk rang undang-undang pas vaksin yang telah diluluskan Kabinet, lapor Agensi Anadolu (AA).

Rang undang-undang pas vaksin itu bertujuan membebankan golongan yang tidak divaksin dan menggantikan pas kesihatan semasa bagi membolehkan orang ramai masuk ke restoran, kafe, pusat kebudayaan, panggung wayang, muzium dan lain-lain mulai 15 Januari ini.

"Jika rang undang-undang diluluskan Parlimen, hanya mereka yang mengemukakan bukti vaksinasi dibenarkan masuk ke tempat-tempat yang memerlukan pas vaksin, dan keputusan ujian negatif COVID tidak lagi diterima," kata Castex.

Terdapat kira-kira lima juta rakyat Perancis yang masih belum divaksin dan menolak suntikan COVID-19.

Sekatan lain yang akan dikuatkuasa pada Isnin ini termasuk mengehadkan bilangan peserta perhimpunan besar kepada 5,000 orang di kawasan terbuka dan 2,000 orang bagi kawasan tertutup, manakala makan dan minum dalam pengangkutan awam, salun wayang, dan kemudahan sukan adalah dilarang.

Castex juga meminta orang ramai untuk mendapatkan suntikan penggalak bagi mengelakkan kemasukan ke hospital.

Menteri Kesihatan, Olivier Veran juga memberi amaran bahawa kes harian dijangka melebihi 250,000 pada awal Januari. - AGENSI

Berita Harian X