Jumaat, 24 Disember 2021 | 5:09pm
Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus. - Foto AFP
Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus. - Foto AFP

Dos penggalak bukan jalan keluar pandemik COVID-19 - WHO

Dos penggalak bukan jalan keluar daripada pandemik Covid-19

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa selagi semua negara di seluruh dunia tidak mendapat bekalan vaksin Covid-19 yang mencukupi, selagi itulah tiada satu negara pun mampu 'membebaskan diri' dari pandemik.

Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, keutamaan vaksin masih diberikan kepada golongan yang berisiko tinggi, tidak kira di mana mereka berada dan pemberian dos penggalak yang giat dilakukan oleh banyak negara ketika ini bukanlah penyelesaian terbaik.

"Tiada satu negara pun dapat keluar dari pandemik Covid-19 jika masih ada negara yang tidak mendapat bekalan vaksin," tegasnya.

WHO sudah lama menggesa negara kaya supaya tidak memonopoli pembelian vaksin Covid-19, sebaliknya menyumbang kepada negara miski menerusi program COVAX.

Namun, gesaan itu umpama tidak berhasil apabila semakin banyak negara maju berlumba-lumba memberikan dos penggalak kepada penduduk masing-masing tanpa memikirkan masalah belum selesai sepenuhnya.

Jelas Tedros, perlindungan menyeluruh tidak boleh dicapai jika masih ada penduduk dunia yang tidak divaksin dan pemberian dos penggalak hanya membesarkan lagi jurang sedia ada.

"Program dos penggalak hanya menyebabkan pandemik akan berlanjutan dalam tempoh yang lebih lama dan keadaan itu semakin sukar untuk diakhiri.

"Sekiranya kadar vaksinasi dunia tidak menyeluruh, virus Covid-19 akan terus bermutasi dan menular," katanya.

Beberapa bulan lalu, Tedros mendesak supaya pemberian dos penggalak dihentikan buat sementara waktu sehingga sekurang-kurangnya 40 peratus penduduk di seluruh dunia sudah menerima suntikan vaksin dos pertama.

Menurut data yang dikeluarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kira-kira 67 peratus penduduk di negara maju sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin, manakala tidak sampai 10 peratus penduduk di negara miskin menerima vaksin.

Setakat ini, varian Omicron sudah menular di 106 negara dan data awal menunjukkan varian itu boleh menembusi perlindungan yang disediakan vaksin sedia ada.

Namun, Tedros menegaskan vaksin masih menjadi senjata utama mencegah komplikasi jangkitan yang serius akibat Covid-19.

"Perlu diingatkan bahawa majoriti kes kematian dan dimasukkan ke hospital itu melibatkan golongan yang tidak divaksin, bukannya mereka yang tidak mendapat suntikan dos penggalak," ujarnya.

Sehingga kini, sebanyak 120 negara sudah memulakan program dos penggalak dan tiada satu daripadanya dari negara miskin.

Tedros menyatakan, dos penggalak bukanlah tiket untuk masyarakat bergerak bebas tanpa mematuhi peraturan Covid-19.

Tegasnya, orang ramai masih perlu memakai pelitup muka dan menjaga jarak fizikal bagi mengurangkan penularan.

Ketua Pandemik Covid-19 WHO, Maria Van Kerkhove berkata, orang ramai sepatutnya 'sudah lali dengan peraturan Covid-19' kerana sudah lebih dua tahun dunia berperang dengan Covid-19.

"Saya faham, bukan mudah untuk mengubah keputusan yang kita rancang, tapi demi keselamatan dan kesihatan, kita perlu mematuhi piawaian yang ditetapkan.

"Usaha menangani Covid-19 bukan mudah, tapi tanpa kita tahu, kita mampu melakukannya bersama," katanya. – AFP

Berita Harian X