Khamis, 23 Disember 2021 | 9:01am
- FOTO AFP
- FOTO AFP

Eropah, China tingkat langkah cegah Omicron

PARIS: Negara besar benua Eropah mula meningkatkan langkah keselamatan kesihatan bagi mengawal jangkitan dan penularan COVID-19 varian Omicron yang pantas merebak.

Di rantau Asia, China turut melaksanakan perintah lebih ketat sebagai langkah membendung peningkatan kes jangkitan berpunca daripada varian Omicron.

Perancis mula memberikan suntikan vaksin kepada kanak-kanak berusia seawal lima tahun, manakala China kembali melaksanakan perintah berkurung, sebagai langkah membendung peningkatan kes berpunca daripada varian Omicron.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagaimanapun menegaskan pemberian dos penggalak tidak bermakna aspek keselamatan boleh diabaikan, menjelang sambutan ambang tahun baharu.

Ancaman Omicron ketika ini semakin meruncing menjelang sambutan yang lazimnya diadakan pada setiap penghujung tahun, sekali gus menyaksikan pelbagai kerajaan mengenakan langkah sekatan dan menggesa rakyatnya mengambil suntikan vaksin.

Data terkini menunjukkan Omicron tidak menyebabkan gejala teruk berbanding varian sebelum ini, termasuk Delta, tetapi peningkatan kes mengundang bebanan kepada sistem perkhidmatan kesihatan.

Sehubungan itu, pelbagai saintis mengutarakan kebimbangan yang varian berkenaan berupaya menjadi punca peningkatan kes kematian.

Perancis, semalam membuka pusat pemberian vaksin untuk kanak-kanak berusia antara lima hingga 11 tahun, susulan kegusaran risiko lonjakan kes harian yanf mencecah 100,000 menjelang akhir tahun ini, berbanding kadar putara dalam tempoh seminggu sebelum ini sebanyak 54,000 kes.

"Satu perkara yang pasti, Omicron sangat mudah merebak dan tiada negara yang bakal terkecuali daripada penularan varian ini tetapi vaksin sememangnya berkesan terhadap varian Omicron," kata Menteri Kesihatan Perancis, Olivier Veran.

Sementara itu, Finland mengumumkan perancangannya untuk memperluaskan program pemberian vaksin kepada kanak-kanak berusia antara lima hingga 12 tahun, sehari selepas membuat ketetapan penutupan bar pada jam 9 malam pada malam ambang Krismas bagi membendung jangkitan COVID-19.

China bagaimanapun yang merekodkan 52 kes jangkitan baharu menguatkuasakan perintah berkurung secara ketat, membabitkan lebih 13 juta rakyatnya di Xi'an.

Berkuat kuasa tengah malam ini, penduduk diarahkan untuk kekal berada di rumah, kecuali bagi tujuan membeli barangan keperluan setiap dua hari sekali atau ketika kecemasan.

Perjalanan keluar atau masuk ke Xi'an pula dipantau rapi pihak berkuasa kesihatan, manakala hanya perniagaan barangan keperluan asas dibenarkan beroperasi.

Langkah itu dibuat selari usaha China untuk merealisasikan dasar sifar COVID-19 sebelum Olimpik Musim Sejuk di Beijing dan sebagai mengingati perintah berkurung pertama berikutan pandemik mula dikesan di bandar Wuhan, pada Januari 2020.

Belgium pula mengumumkan pawagam, dewan konsert dan pelbagai premis hiburan lain ditutup pada hujung minggu, susulan tiga daripada 10 kes baharu COVID-19 direkodkan adalah varian Omicron.

Kerajaan Sepanyol, semalam berkata pihaknya akan mewajibkan pemakaian semula pelitup muka ketika brada di luar, namun tidak memperincikan tarikh pelaksanaan dasar sedemikian. - AFP

Berita Harian X