Rabu, 22 Disember 2021 | 7:27pm
Anggota badan kebajikan mengedarkan pelitup muka kepada PATI di kem pelarian Moria di Kepulauan Lesbos. - Foto AFP
Anggota badan kebajikan mengedarkan pelitup muka kepada PATI di kem pelarian Moria di Kepulauan Lesbos. - Foto AFP

Puluhan hilang selepas bot PATI karam di Greece

ATHENS: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) besar-besaran dijalankan di luar pulau Greek, Folegandros, hari ini selepas sebuah bot getah membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) karam.

Menurut pengawal pantai Greece, 12 mangsa termasuk kanak-kanak sudah diselamatkan, namun jumlah sebenar PATI yang berada dalam bot berkenaan tidak diketahui.

Bagaimanapun, terdapat laporan bercanggah mengenai angka keseluruhan PATI di dalam bot itu, dengan beberapa mangsa terselamat berkata jumlahnya mungkin sekitar 32 orang.

Sementara itu, ada mangsa yang lain berkata ia membabitkan 50 orang, kata seorang pegawai pengawal pantai.

Katanya, empat kapal pengawal pantai, dua helikopter tentera laut dan udara, pesawat pengangkutan tentera, lima kapal berhampiran serta tiga kapal persendirian menyertai operasi SAR itu.

Operasi bermula lewat semalam selepas pengawal pantai menerima maklumat kapal membawa PATI menghadapi masalah dan mula mengambil air di selatan pulau itu.

Mangsa diselamatkan masing-masing tujuh warga Iraq, tiga warga Syria dan dua warga Mesir dipindahkan ke hospital di pulau Santorini.

Hampir sejuta orang, terutama pelarian Syria, tiba di EU pada 2015 selepas menyeberang ke pulau Greece berhampiran Turki.

Puluhan pelarian dan pendatang mati lemas di Laut Aegean ketika cuba membuat lintasan berbahaya itu.

Kira-kira 8,500 pencari suaka tiba di Greece tahun ini, kebanyakannya melalui sempadan darat di timur laut Turki, menurut data UNHCR. - AFP

Berita Harian X