Sabtu, 18 Disember 2021 | 7:59am
Gambar hiasan
Gambar hiasan

WHO beri kelulusan kecemasan vaksin Covovax buatan India

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam mengumumkan pemberian kelulusan kecemasan kepada vaksin COVID-19 buatan India, Covovax.

Vaksin terbabit dihasilkan oleh Serum Institute of India bawah lesen daripada Novavax yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).

"Kini, ia akan turut diedarkan sebagai sebahagian daripada inisiatif bawah sistem perkongsian vaksin global, COVAX, sekali gus membantu usaha yang dilakukan berterusan untuk memvaksin lebih ramai penduduk di negara berpendapatan rendah," menurut WHO dalam satu kenyataan.

Penolong Ketua Pengarah (Akses kepada Ubat-ubatan dan Produk Kesihatan) WHO, Mariangela Simao pula menjelaskan walaupun varian baharu muncul, vaksinasi kekal sebagai antara usaha paling berkesan untuk melindungi orang ramai daripada risiko sakit teruk dan kematian akibat SARS-COV-2.

"Penyenaraian vaksin ini bermatlamat meningkatkan akses, terutama di negara berpendapatan rendah yang mana 41 daripadanya masih tidak mampu memvaksin 10 peratus populasi mereka, manakala 98 negara belum lagi mencapai 40 peratus," katanya.

Pemberian vaksin Covovax membabitkan suntikan dua dos, dan ia stabil pada suhu peti sejuk antara 2 hingga 8 darjah Celsius. - AFP

Berita Harian X