Khamis, 16 Disember 2021 | 7:56am
- Hiasan (FOTO AFP)
- Hiasan (FOTO AFP)

Eropah tingkat vaksin COVID-19 untuk kanak-kanak

MADRID: Eropah mula meningkatkan pemberian vaksin COVID-19 kepada kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun, ketika agensi kesihatan Kesatuan Eropah (EU) memberi amaran imunisasi semata-mata tidak mampu menghentikan jangkitan varian baharu Omicron.

Croatia, Jerman, Greece, Hungary dan Sepanyol adalah antara memulakan langkah inokulasi mereka kepada kanak-kanak manakala negara lain masih mempertimbangkan pendekatan itu.

Langkah terbaru negara Eropah itu berikutan peningkatan kes jangkitan varian Omicron yang sangat cepat bermutasi.

Ketua EU, Ursula von der Leyen memberi amaran varian itu boleh menjadi dominan di Eropah menjelang pertengahan Januari ini.

Bagaimanapun, agensi kesihatan EU, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Eropah (ECDC) memberi amaran pemberian vaksin tidak memadai untuk menangani jangkitan varian baharu itu.

ECDC berkata, pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal dan mengelakkan kawasan sesak lebih penting bagi mengurangkan beban sistem penjagaan kesihatan, kerana kesan vaksinasi mengambil masa lama.

Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez berkata, beliau berharap negaranya, yang mencapai kadar vaksinasi COVID-19 tertinggi di Eropah, akan menjadi contoh untuk dunia melalui kempen imunisasi kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun.

Katanya, Sepanyol mempunyai kira-kira 3.3 juta kanak-kanak dalam kumpulan umur itu dan permintaan daripada ibu bapa bagi mendapatkan vaksin untuk anak mereka semakin meningkat.

"Sebaik saja kami menawarkan suntikan vaksin, ramai meminta tarikh janji temu untuk suntikan" kata seorang doktor berpangkalan di Berlin yang juga jurucakap persatuan pakar pediatrik Jerman, Jakob Maske.

Pada masa ini, Suruhanjaya vaksin Jerman (STIKO) secara rasminya hanya mengesyorkan vaksin untuk kanak-kanak berisiko, namun yang sihat diberikan suntikan jika ada permintaan daripada ibu bapa mereka.

Denmark, yang menyaksikan lonjakan kes dikaitkan varian Omicron dan beberapa wilayah Austria mula menawarkan suntikan vaksin pelalian kepada kanak-kanak lebih muda pada November lalu.

Dorongan untuk memberi vaksin kepada kanak-kanak bermula ketika beberapa negara Eropah mengetatkan sekatan penularan virus, dengan Poland mengenakan had bilangan orang menjamu selera di restoran, menginap hotel dan menonton teater.

Itali mengetatkan sekatan untuk ketibaan dari seluruh EU mulai hari ini, mewajibkan ujian COVID-19 untuk semua pengembara, manakala Greece mengumumkan langkah serupa berkuat kuasa Ahad.

Sebahagian negara Eropah melancarkan suntikan vaksinasi kanak-kanak dalam beberapa hari akan datang, termasuk Itali, Portugal, Poland, negara Baltik dan Republik Czech, manakala yang lain dalam proses memuktamadkan rancangan mereka.

Di Perancis, vaksinasi hanya diluluskan untuk kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun yang berisiko mendapat penyakit serius, tetapi kerajaan berkata ia sedang mempertimbangkan untuk memberikan kepada semua kanak-kanak secara sukarela.

Belgium sedang menunggu cadangan badan kesihatan kebangsaannya, dengan kemungkinan akan dilancarkan awal tahun depan.

Pengawal selia kesihatan British masih menilai sama ada akan meluluskan suntikan vaksin untuk kumpulan umur lima hingga 11 tahun, dengan keputusan itu mungkin ditetapkan sebelum Krismas. - AFP

Berita Harian X