Selasa, 14 Disember 2021 | 9:05pm
Gambar fail menunjukkan Menteri Dalam Negeri Perancis, Gerald Darmanin (tengah) bersama anggota polis negara itu ketika lawatan ke Ouistreham. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan Menteri Dalam Negeri Perancis, Gerald Darmanin (tengah) bersama anggota polis negara itu ketika lawatan ke Ouistreham. - Foto AFP

Perancis sasar tutup masjid laung khutbah 'radikal'

PARIS: Perancis hari mengumumkan arahan penutupan sebuah masjid sehingga enam bulan kerana imamnya didakwa menyampaikan khutbah berunsur radikal.

Menteri Dalam Negeri, Gerald Darmanin, memberitahu saluran Cnews TV, berkata beliau mengesyorkan penutupan masjid di di Beauvais, sebuah bandar dengan 50,000 penduduk kira-kira 100 kilometer (km) di utara Paris.

Katanya imam masjid itu dalam khutbahnya menyasarkan 'Kristian, homoseksual serta Yahudi' dan menyifatkannya sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima.

Pihak berkuasa di wilayah Oise, lokasi Beauvais berada, turut mengumumkan mereka sedang mempertimbangkan untuk menutup masjid kerana khutbah didakwa menghasut kebencian, keganasan dan 'mempertahankan jihad'.

Seorang pegawai di wilayah Oise memberitahu AFP bahawa surat itu sudah dihantar minggu lalu, malah berkata tempoh 10 hari pengumpulan maklumat diperlukan secara sah sebelum sebarang tindakan boleh diambil.

Akhbar tempatan, Courrier Picard pula melaporkan bahawa imam masjid itu adalah seorang yang baru memeluk Islam.

Akhbar itu turut memetik penjelasan seorang peguam bagi persatuan pengurusan masjid, bahawa kenyataannya 'diambil di luar konteks' dan imam itu juga sudah digantung daripada tugasnya.

Darmanin awal tahun ini mengumumkan bahawa Perancis akan meningkatkan pemeriksaan terhadap tempat ibadat dan persatuan yang disyaki menyebarkan propaganda radikal.

Tindakan keras itu dilakukan selepas pembunuhan seorang guru, Samuel Paty, pada Oktober 2020 kerana menunjukkan kartun kontroversi Nabi Muhammad yang diterbitkan oleh majalah satira Charlie Hebdo ketika kelas sivik.

Menurut kementerian itu lagi, 99 buah masjid dan surau Islam daripada sejumlah 2,623 di seluruh Perancis disiasat sejak beberapa bulan kebelakangan ini, kerana disyaki menyebarkan ideologi pemisah.

Daripada jumlah itu, 21 sedang dalam proses ditutup atas pelbagai sebab dan enam lagi disiasat dengan tujuan untuk menutupnya berdasarkan undang-undang Perancis yang menentang ekstremisme dan pemisahan. - AFP

Berita Harian X