Isnin, 13 Disember 2021 | 6:16pm
Insiden berlaku di bandar Serpukhov sekitar 100 kilometer selatan Moscow. - Foto TWITTER
Insiden berlaku di bandar Serpukhov sekitar 100 kilometer selatan Moscow. - Foto TWITTER

Remaja Russia letupkan diri di sekolah Orthodox

MOSCOW: Seorang lepasan sekolah Orthodox berusia 18 tahun cuba meletupkan dirinya di sebuah biara di bandar Serpukhov di selatan Moscow, hari ini, menyebabkan seorang remaja berusia 15 tahun cedera.

Kementerian Dalam Negeri Russia berkata, maklumat awal menunjukkan individu yang cuba meletupkan diri itu tidak terbunuh dalam letupan berkenaan.

"Seorang lepasan institusi pendidikan ini yang berusia 18 tahun masuk ke premis gimnasium Orthodox di biara Vvedenskiy Vladychniy dan meletupkan dirinya," kata kenyataan itu.

Menurut kementerian itu, kakitangan sekolah itu sudah dibawa keluar dan maklumat berhubung mangsa lain sedang diperincikan.

Beberapa agensi berita Russia melaporkan, sekurang-kurangnya tujuh individu cedera dalam serangan berkenaan.

Pendakwa raya Moscow memuat naik video daripada lokasi insiden itu, yang menunjukkan kenderaan polis dan ambulans memenuhi pekarangan biara itu dalam suasana bersalji.

Jawatankuasa Penyiasatan yang bertanggungjawab meneliti jenayah berat, sudah menghantar dua detektif ke lokasi kejadian.

Sejak beberapa tahun kebelakangan, Russia merekodkan peningkatan dalam kes serangan di sekolah yang dilakukan golongan remaja.

September lalu, seorang pelajar membunuh enam pelajar dan mencederakan puluhan yang lain di sebuah kampus universiti di bandar Urals, Perm.

Mei lalu, seorang remaja berusia 19 tahun melepaskan tembakan di sekolah lamanya di bandar Kazan, menyebabkan sembilan individu terbunuh. - AFP

Berita Harian X