Isnin, 13 Disember 2021 | 12:17pm
Perdana Menteri Britain, Boris Johnson, mengumumkan mengenai usaha mempercepatkan suntikan doa penggalak vaksin COVID-19. - Foto AFP
Perdana Menteri Britain, Boris Johnson, mengumumkan mengenai usaha mempercepatkan suntikan doa penggalak vaksin COVID-19. - Foto AFP

UK berdepan 'gelombang besar' varian Omicron

LONDON: Britain berdepan 'gelombang besar' varian COVID-19 Omicron dan dua dos vaksin tidak akan cukup untuk membendungnya.

Sehubungan itu, Perdana Menteri Britain, Boris Johnson, menggesa semua penduduk negara itu berusaha mempercepatkan pengambilan dos vaksin penggalak.

Bercakap beberapa jam selepas saintis kerajaan menaikkan tahap amaran COVID-19 kepada empat pada skala lima mata, Johnson berkata Britain tiada pilihan selain mempercepatkan pengambilan vaksin penggalak.

"Ini kerana saintis masih belum mengetahui jika Omicron kurang teruk berbanding varian lain dan kita tidak mahu pengalaman sebelum ini dengan varian Delta berulang.

"Gelombang besar Omicron akan datang dan saya bimbang, kini jelas dua dos vaksin tidak mencukupi untuk memberikan tahap perlindungan yang kita semua perlukan," katanya dalam kenyataan yang disiarkan di televisyen petang semalam.

Beliau berkata, saintis mengetahui Omicron lebih mudah berjangkit dan Perkhidmatan Kesihatan Negara (NHS) akan tertekan menangani peningkatan kemasukan ke hospital jika varian itu menyerang penduduk tidak divaksinasi.

"Setiap individu berusia 18 tahun ke atas yang layak di England akan berpeluang mendapatkan dos penggalak mereka sebelum Tahun Baharu," katanya.

Minggu lalu, Johnson memperkenalkan langkah COVID-19 'Pelan B' untuk England, yang mengarahkan penduduk bekerja dari rumah, memakai pelitup muka di tempat awam dan menggunakan pas vaksin bagi memperlahankan penularan Omicron.

Dengan ramai ahli Parlimen daripada partinya sendiri, Parti Konservatif bersedia untuk mengundi menentang langkah itu, Johnson berkata tiada sebarang perancangan untuk sekatan selanjutnya apabila kes semakin meningkat.

Purata tujuh hari kes COVID-19 dilaporkan meningkat sejak kebelakangan ini iaitu melebihi 50,000 kes, yang tertinggi sejak kemuncak kes pada Januari lalu ketika gelombang kes terakhir.

Dengan 146,439 kematian direkodkan dalam tempoh 28 hari selepas ujian positif COVID-19 sehingga Ahad, Britain mencatatkan kadar kematian tertinggi di Eropah akibat virus itu. - AFP

Berita Harian X