Sabtu, 11 Disember 2021 | 7:57am
Orang ramai, sebahagiannya memakai pelitup muka untuk memerangi penularan COVID-19, berjalan di sepanjang Oxford Street di tengah London. - Foto AFP
Orang ramai, sebahagiannya memakai pelitup muka untuk memerangi penularan COVID-19, berjalan di sepanjang Oxford Street di tengah London. - Foto AFP

Kes COVID-19 UK tertinggi sejak Januari - menteri

LONDON: Seorang menteri kanan semalam menjelaskan United Kingdom (UK) menyaksikan jumlah jangkitan COVID-19 tertinggi sejak Januari lalu, ketika kerajaan berusaha memperlahankan penularan varian baharu.

Setiausaha Komuniti, Michael Gove, berkata negara itu menghadapi "situasi amat membimbangkan" apabila varian Omicron merebak dengan cepat, dengan bilangan kes meningkat dua kali ganda setiap dua hingga tiga hari di England.

UK mempunyai sebanyak 58,194 kes semalam.

Bercakap kepada pemberita selepas bertemu pemimpin wilayah UK, Gove berkata, pihaknya maklum mengenai jumlah jangkitan COVID-19 tertinggi dicatatkan di seluruh UK sekarang sejak 9 Januari lalu, dengan 59,937 kes direkodkan.

Katanya, 30 peratus daripada kes dilaporkan di London kini adalah varian Omicron, selain varian itu hanya dikenal pasti di UK, dua minggu lalu.

Menteri Pertama Scotland, Nicola Sturgeon memberi amaran: "Kita mungkin menghadapi... mungkin mula mengalami... potensi tsunami jangkitan."

Sementara itu, Agensi Keselamatan Kesihatan UK (UKHSA) menjangkakan Omicron akan menjadi varian dominan di UK menjelang pertengahan Disember, jika trend itu berterusan dengan lebih sejuta jangkitan menjelang akhir bulan ini.

Setakat ini terdapat 1,265 kes Omicron disahkan.

UKHSA berkata, analisis awal ke atas kira-kira 500 kes Omicron menunjukkan vaksin AstraZeneca dan Pfizer "menyediakan tahap perlindungan jauh lebih rendah bagi jangkitan bergejala", berbanding Delta.

Katanya, dos penggalak dikatakan meningkatkan perlindungan kepada 70 hingga 75 peratus, selain memberi amaran saiz sampel kecil perlu dirawat dengan berhati-hati.

UK mempunyai antara angka kematian tertinggi di Eropah akibat virus itu, iaitu 146,255 dengan kadar itu tidak meningkat pada minggu lalu.

Perdana Menteri, Boris Johnson Rabu lalu, mengumumkan pelbagai sekatan lebih ketat yang dikenali 'Pelan B', termasuk mewajibkan pemakaian pelitup muka di muzium, teater dan pawagam mulai semalam serta panduan bekerja dari rumah sejak Isnin lalu.

Orang ramai perlu menunjukkan pas COVID-19 dengan bukti dua suntikan atau ujian aliran sisi bagi menghadiri acara sesak seperti kelab malam dan stadium, mulai Rabu lalu.

Peraturan baharu itu akan dibincangkan dan diundi di Dewan Rakyat minggu depan, tetapi dijangka diluluskan walaupun mendapat tentangan daripada sebahagian anggota. - AFP

Berita Harian X