Khamis, 9 Disember 2021 | 5:14pm
Perdana Menteri Britain, Boris Johnson, ketika sidang media mengenai perkembangan terkini ancaman varian COVID-19 Omicron di United Kingdom (UK). - Foto AFP
Perdana Menteri Britain, Boris Johnson, ketika sidang media mengenai perkembangan terkini ancaman varian COVID-19 Omicron di United Kingdom (UK). - Foto AFP

Omicron paksa sekatan lebih tegas dilaksana di Britain

LONDON: Perdana Menteri Britain, Boris Johnson mengumumkan langkah sekatan lebih ketat untuk menyekat varian COVID-19 Omicron yang semakin pantas menular.

Johnson menegaskan, ini adalah masanya untuk memperketatkan kawalan bagi mencegah peningkatan kemasukan ke hospital dan kemungkinan kematian apabila varian baharu itu merebak secara meluas dalam kalangan penduduk,

"Sudah terbukti bahawa Omicron merebak jauh lebih pantas berbanding varian lain termasuk Delta, malah ia sudah merebak ke seluruh dunia hanya dalam tempoh tidak sampai tiga minggu.

"Paling membimbangkan, terdapat bukti bahawa jangkitan Omicron pada masa ini boleh berganda dalam selangan antara dua dan tiga hari," katanya dalam satu sidang akhbar.

Tambah Johnson, 568 kes varian itu sudah disahkan di seluruh United Kingdom (UK) setakat ini tetapi beliau yakin bilangan sebenar sudah pasti jauh lebih tinggi.

Katanya, meskipun belum ada data komprehensif mengenai betapa bahayanya Omicron, peningkatan kadar kemasukan ke hospital di Afrika Selatan, tempat varian itu mula dikesan, sudah membayangkan ia berpotensi mengakibatkan kemudaratan.

Saintis di Agensi Keselamatan Kesihatan UK juga berkata, mereka menjangkakan varian Omicron akan dominan di Britain dalam tempoh dua hingga empat minggu akan datang.

Agensi itu berkata, setakat ini kebanyakan kes dikesan di London dan tenggara England.

Sekatan lebih ketat oleh kerajaan dilihat dapat memberi masa untuk mereka menyuntik dos vaksin penggalak dengan sasaran melengkapkan suntikan dos penggalak kepada semua orang dewasa menjelang akhir Januari.

Johnson juga berkata, mulai Isnin depan, orang ramai harus bekerja dari rumah sekiranya mampu dan bermula esok, keperluan pemakaian pelitup muka akan diperluaskan ke kebanyakan tempat awam tertutup di England, termasuk pawagam.

Malah, pada minggu depan, hanya mereka yang mempunyai pas COVID-19 iaitu disuntik dua dos vaksin, boleh memasuki kelab malam dan lokasi kunjungan ramai.

Britain dilapor merekodkan 51,342 lagi kes harian COVID-19 setakat kelmarin dengan 161 kematian dan secara keseluruhan, Britain merekodkan 146,000 kematian, kedua terburuk di Eropah selepas Russia. - AFP

Berita Harian X