Sabtu, 4 Disember 2021 | 11:22am
Lelaki cuba mendapatkan pelalian COVID-19 menggunakan tangan palsu. - Foto hiasan AFP
Lelaki cuba mendapatkan pelalian COVID-19 menggunakan tangan palsu. - Foto hiasan AFP

Lelaki guna tangan palsu suntik vaksin

ROM: Seorang lelaki Itali cuba menipu dengan menggunakan tangan palsu untuk suntikan vaksin, semata-mata mahu mendapatkan sijil pelalian.

Walaupun lengan itu mempunyai warna yang hampir sama dengan kulitnya, namun tiada sesiapa yang tertipu dengan anggota badan yang diperbuat daripada silikon, dibawa lelaki berusia 50 tahun di Biella, kata polis.

"Kes ini tidak masuk akal," kata ketua kerajaan wilayah Piedmont, Albert Cirio, dalam kenyataan di Facebook.

Katanya, tindakan lelaki itu tidak boleh diterima dengan pengorbanan masyarakat ketika tempoh pandemik yang memberi kesan kepada kehidupan manusia, sosial dan ekonomi.

Kes itu wujud selepas negara berkenaan menguat kuasa tindakan tegas bermula Isnin lalu, terhadap mereka yang masih belum mengambil suntikan pelalian COVID-19

Sejak Ogos lalu, 'Pas Hijau' dikuasa kuasa untuk menunjukkan bukti pelalian, penyembuhan dari COVID-19 dan ujian saringan negatif untuk membolehkan orang ramai makan di restoran, melawat muzium, pawagam, teater dan menghadiri acara sukan.

Bermula 6 Dismber ini, kegiatan itu semakin diperketat kepada 'Pas Hijau Super', yang memberi hak kepada mereka mereka divaksin atau dijangkiti wabak itu.

Pas sebelum ini dilanjutkan pada Oktober untuk semua tempat kerja dan masih sah untuk digunakan. Itu bermakna mereka yang tidak divaksin masih boleh ke tempat kerja dengan menunjukkan ujian saringan yang negatif.

Penguatkuasaan baharu ini diperkenal untuk menyekat peningkatan kes COVID-19 dan ia semakin dibimbangi ekoran kemunculan varian Omicron.

Itali satu dari negara Eropah yang terkesan teruk dengan pandemik itu pada awal 2020 tetapi situasi semakin bertambah baik, berbanding negara jiran.

Khamis lalu, sebanyak 16,800 kes baharu dilaporkan dalam tempoh 24 jam dengan 72 kematian.

Hampir 85 peratus (berusia 12 tahun ke atas) daripada populasi negara itu sudah divaksin dan minggu ini, suntikan vaksin penggalak pula diberikan kepada golongan dewasa - AFP

Berita Harian X