Jumaat, 3 Disember 2021 | 8:51am
Jean Castex-. - Foto AFP
Jean Castex-. - Foto AFP

Perancis tolak idea rondaan bersama UK di Selat Inggeris

PARIS: Perancis menolak cadangan rondaan bersama dengan pasukan keselamatan Britain di perairannya di Selat Inggeris.

Penolakan secara rasmi itu dibuat menerusi sepucuk surat daripada Perdana Menteri Perancis, Jean Castex kepada rakan sejawatannya, Boris Johnson.

Dalam surat itu Castex berkata: "Kami tidak boleh menerima... polis atau tentera Britain meronda di pantai kami. Ini adalah soal kedaulatan dan saya tahu sensitiviti kerajaan anda dalam menghormati kedaulatan orang lain."

Minggu lalu, Johnson menulis surat kepada Presiden Perancis, Emmanuel Macron mencadangkan rondaan bersama serta penghantaran pulang secara sistematik migran dari Perancis yang tiba di England selepas menyeberangi selat.

Keputusan Johnson untuk mendedahkan kepada umum mencetuskan kemarahan Paris apabila Macron mengecam pendekatan itu sebagai tidak serius.

"Menghantar pulang migran kepada kami bukan satu pilihan, cara serius atau bertanggungjawab untuk menangani isu ini," kata sumber di Pejabat Perdana Menteri.

Surat Perancis yang dihantar kepada Johnson dan dikongsi kepada wartawan dimulakan dengan 'setiap negara mesti berdepan dengan tanggungjawabnya'.

Menurut surat itu, Perancis sudah mengerahkan 700 pegawai polis untuk meronda pantai dan 41 kumpulan penyeludupan manusia ditumpaskan sejak awal tahun ini.

Surat itu turut menyatakan 'mengurus kehadiran migran yang ingin ke negara anda terletak pada Perancis, ia tidak normal'.

"Malah, sebahagian besar penyelesaian ini tidak ditemui di Perancis, tetapi di United Kingdom," tulis Castex.

Beliau menggesa Britain mengamalkan 'dasar penghantaran pulang lebih cekap' untuk mengusir pemohon suaka yang gagal dan membuka laluan penghijrahan sah bagi 'pihak mempunyai alasan sah untuk pergi ke negara anda'.

"Hanya anda boleh pastikan pasaran buruh anda dikawal secukupnya bagi menghalang orang yang ingin bekerja secara haram," tulisnya.

Surat itu juga memberi amaran kepada Britain supaya tidak menolak bot migran, pilihan dibincangkan kerajaan di London dengan menjelaskan ia akan membahayakan nyawa migran dan akan melanggar undang-undang maritim.

Hubungan Perancis-British kembali merosot sejak kematian sekurang-kurangnya 27 migran yang cuba menyeberangi selat dari Perancis ke England, pada 24 November lalu. - AFP

Berita Harian X