Jumaat, 3 Disember 2021 | 7:17am
Foto AFP
Foto AFP

Omicron bakal dominan di Eropah - ECDC

BRUSSELS: Agensi kesihatan awam Kesatuan Eropah (EU) menjangkakan varian Omicron boleh menyumbang lebih separuh daripada jangkitan COVID-19 di Eropah dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Bagaimanapun sehingga kini tiada kes yang menyebabkan penyakit teruk dikesan di rantau itu.

Jangkaan itu menjelaskan maklumat awal mengenai kebolehjangkitan varian Omicron yang sangat tinggi melebihi varian Delta yang sebelum ini adalah varian paling cepat menular.

"Berdasarkan pemodelan matematik yang dijalankan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Eropah (ECDC), terdapat tanda Omicron boleh menyebabkan lebih separuh daripada semua jangkitan SARS-CoV-2 di EU/EEA (Kawasan Ekonomi Eropah) dalam beberapa bulan akan datang," menurut ECDC dalam satu kenyataan.

EU dan EEA merangkumi 27 negara anggota EU serta Iceland, Liechtenstein dan Norway.

Tiada bukti konklusif mengenai kebolehjangkitan Omicron setakat ini tetapi ketua pasukan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai COVID-19, Maria van Kerkhove, berkata agensi itu menjangkakan mempunyai data mengenainya dalam beberapa hari lagi.

Sebelum ini, penasihat saintifik kanan kerajaan Perancis, Jean-Francois Delfraissy, berkata Omicron boleh mengambil tempat Delta menjelang akhir Januari.

Eropah setakat ini merekodkan 79 kes varian Omicron yang pertama kali dikesan di selatan Afrika bulan lalu, kata ECDC.

Separuh daripada kes dikesan tidak bergejala dan separuh lagi menunjukkan gejala ringan. Tiada kes menunjukkan penyakit teruk, kemasukan ke hospital atau kematian.

Daripada kes yang mempunyai data mengenai umur dan status vaksinasi, majoriti adalah golongan muda dan lengkap vaksin, katanya.

ECDC tidak memberikan butiran lanjut, tetapi menyatakan disebabkan mereka adalah pengembara, mereka juga boleh diandaikan lebih sihat daripada populasi umum.

"Vaksinasi sama ada untuk mereka yang belum divaksin atau yang belum lengkap vaksin dan menerima dos penggalak bagi yang berumur lebih 40 tahun adalah penting," kata Pengarah ECDC, Andrea Ammon dalam kenyataan itu.

Langkah-langkah penjarakan fizikal, pengudaraan yang mencukupi di ruang tertutup dan orang yang bekerja dari rumah jika sakit juga terbukti berkesan dalam mengurangkan penularan, katanya. - AGENSI

Berita Harian X