Jumaat, 26 November 2021 | 5:29pm
Seorang pejalan kaki berjalan di tengah London dengan memakai pelitup muka. - Foto AFP
Seorang pejalan kaki berjalan di tengah London dengan memakai pelitup muka. - Foto AFP

Eropah ambil tindakan segera atasi penularan varian baharu COVID-19

THE HAGUE: Kerajaan di seluruh Eropah hari ini bergegas memperkuatkan pertahanan mereka terhadap lonjakan coronavirus baharu, susulan Afrika Selatan mengumumkan telah mengesan strain baharu COVID-19 yang menurut kumpulan saintis dikhuatiri menghalang usaha bagi menyekat mengatasi pandemik itu.

Dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini, benua itu dilanda peningkatan kes dan rusuhan ganas, selain turut bergelut dengan program dos penggalak dan penutupan dramatik untuk membendung penularan COVID-19.

Jumlah kematian di Eropah kini melepasi 1.5 juta dan ia sekali lagi menjadi pusat global bagi wabak yang tidak pernah berhenti itu.

Kumpulan saintis kini bertungkus lumus untuk memahami kesan strain baharu yang bermutasi itu dan bimbang jika ia lebih mudah menjangkiti berbanding Delta, yang menyebabkan dunia kembali berdepan penularan meluas setahun selepas virus itu muncul di China.

"Ini adalah varian paling ketara yang kami temui setakat ini dan penyelidikan segera sedang dijalankan untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kebolehjangkitan, keterukan dan kerentanan terhadap vaksin," kata Ketua Agensi Kesihatan Britain, Jennie Harries dalam satu kenyataan.

Selain pengumuman oleh kumpulan saintis di Afrika Selatan semalam, negara di seluruh Eropah mengambil pelbagai inisiatif termasuk mempercepatkan kempen pemberian dos penggalak, menguatkuasakan sekatan yang lebih ketat dan menyasarkan individu yang tidak divaksinasi apabila kes berganda ke tahap tertentu.

Di Belanda, pihak berkuasa sedang bersiap sedia untuk menghadapi rusuhan baharu menjelang pengumuman oleh Perdana Menteri, Mark Rutte yang dijangka pada hari ini untuk mengetatkan sekatan pergerakan separa susulan negara itu berdepan kekurangan katil hospital di tahap kritikal dengan jumlah jangkitan melepasi tahap membimbangkan.

Sementara itu, tiga negara yang mencatatkan antara kadar vaksinasi tertinggi di dunia iaitu Jerman, Republik Czech dan Portugal turut mengumumkan langkah penguatkuasaan baharu susulan peningkatan ketara kes COVID-19.

Semalam, Perancis mengumumkan pemberian dos penggalak kepada semua penduduk dewasa, manakala Agensi ubat-ubatan Kesatuan Eropah (EMA) meluluskan suntikan itu untuk kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun.

Dalam pada itu, Menteri Kesihatan Afrika Selatan, Joe Phaahla menyifatkan strain baharu itu sebagai 'ancaman utama'. - AFP

Berita Harian X