Jumaat, 26 November 2021 | 12:01pm
Kesatuan Eropah (EU) meluluskan suntikan vaksin COVID-19 Pfizer kepada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun. - Foto AFP
Kesatuan Eropah (EU) meluluskan suntikan vaksin COVID-19 Pfizer kepada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun. - Foto AFP

EU luluskan vaksin COVID-19 untuk kanak-kanak 5-11 tahun

THE HAGUE: Kesatuan Eropah (EU) meluluskan suntikan vaksin COVID-19 Pfizer kepada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun, secara berperingkat, dalam usaha mengawal penularan pantas virus itu.

Ketua Strategi Vaksin di Agensi Perubatan Eropah (EMA), Marco Cavaleri, berkata bermula hari ini, vaksin jenis Comirnaty itu sudah diluluskan untuk kegunaan kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun.

"Ia akan digunakan pada dos yang lebih rendah berbanding dos kepada orang dewasa, "katanya melalui mesyuarat awam secara dalam talian.

Sehingga kini, hanya segelintir kecil negara yang memberi persetujuan untuk vaksinasi COVID-19 kepada kanak-kanak lebih muda, termasuk Amerika Syarikat (AS), Israel dan Kanada.

Vaksin terbabit sebelum ini sudah diluluskan untuk penggunaan dalam kalangan penduduk berusia 12 tahun dan ke atas di 27 negara EU.

Menurut kenyataan EMA, kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun akan diberikan satu pertiga daripada dos yang diterima orang dewasa dengan dua suntikan pada sela masa tiga minggu.

Katanya, vaksin itu didapati sehingga 90.7 peratus berkesan dalam kajian membabitkan 2,000 kanak-kanak pada peringkat usia berkenaan.

Kesan sampingan yang dihadapi biasanya bersifat ringan atau sederhana selama beberapa hari, termasuk sakit di tempat suntikan, keletihan, sakit kepala, sakit otot dan menggigil.

EMA sebelum ini membuat kesimpulan bahawa manfaat Comirnaty pada kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun melebihi risiko terutama bagi mereka yang mempunyai potensi dijangkiti COVID-19.

Namun, katanya, risiko keselamatan suntikan Pfizer kepada kanak-kanak akan terus dipantau dengan teliti.

Menurut pihak berkuasa kesihatan, kanak-kanak dikesan menyumbang kepada peningkatan kes baharu dan kemasukan ke hospital di Eropah, yang kembali menjadi pusat pandemik coronavirus.

Kanak-kanak juga dianggap sebagai pembawa utama jangkitan walaupun mereka sendiri tidak mengalami gejala.

Di Belanda iaitu pusat pangkalan EMA, Cavaleri berkata peningkatan terbesar kes adalah dalam kalangan kanak-kanak sehingga umur 12 tahun dalam tempoh awal minggu ini.

"Kami tahu jangkitan COVID-19 yang teruk dan kematian agak jarang berlaku dalam kalangan kanak-kanak, namun penyakit yang menyebabkan jangkitan teruk berlaku pada peringkat umur kanak-kanak.

"Selain itu, penularan yang tinggi mengakibatkan peningkatan kemasukan ke hospital dalam kalangan kanak-kanak dari semua peringkat umur," katanya.

EMA kini sedang mengkaji secara berasingan vaksin COVID-19 jenis Moderna untuk kanak-kanak berumur enam hingga 11 tahun sebelum keputusannya diperoleh Januari ini.

Pengawal selia setakat ini sudah meluluskan empat vaksin untuk kegunaan orang dewasa di EU iaitu Pfizer dan Moderna, serta AstraZeneca dan Johnson & Johnson, yang menggunakan teknologi vektor virus. - AFP

Berita Harian X