Jumaat, 26 November 2021 | 9:02am
Kain rentang kumpulan sokongan PATI yang tertera nama 27 mangsa mati lemas ketika cuba merentasi Selat Inggeris diletakkan di Palace Richelieu di Calais, Perancis. - Foto AFP
Kain rentang kumpulan sokongan PATI yang tertera nama 27 mangsa mati lemas ketika cuba merentasi Selat Inggeris diletakkan di Palace Richelieu di Calais, Perancis. - Foto AFP

Perancis perhebatkan kerja menyelamat PATI di laut

PARIS: Perancis mengerahkan pasukan simpanan dan memperhebatkan operasi menyelamat di laut mencari baki pendatang asing tanpa izin (PATI) yang terkandas di Selat Inggeris selepas bot getah mereka bocor.

Tragedi berlaku ketika bot membawa lebih 50 penumpang itu cuba menyusup masuk ke Britain menerusi Selat Inggeris, menyebabkan sekurang-kurangnya 27 mangsa maut manakala baki mangsa masih dicari.

Dalam pada itu, London dan Paris saling menuding jari menyalahkan satu sama lain atas kematian PATI itu, kebanyakannya warga Asia Barat yang melarikan diri daripada perang saudara atau kebuluran di negara sendiri.

Kematian di kawasan perairan Calais, Perancis itu turut menimbulkan lebih banyak permusuhan antara kedua-dua negara yang sebelum ini berselisih mengenai Brexit.

Perdana Menteri Britain, Boris Johnson, berkata Perancis bersalah sementara Menteri Dalam Negeri Perancis, Gerald Darmanin, menuduh Britain sebagai 'pengurus imigresen yang teruk'.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron, mempertahankan tindakan Paris sambil berkata negara itu hanya menjadi transit bagi ramai pendatang dan lebih banyak kerjasama Eropah diperlukan untuk menangani PATI.

Semalam, Boris mengutus surat kepada Macron meminta Perancis menerima kembali semua PATI yang cuba memasuki Britain dari negara itu menerusi Selat Inggeris.

Tragedi pada Rabu lalu itu adalah yang paling buruk dalam rekod di perairan yang memisahkan Britain dan Perancis itu, yang juga salah satu laluan perkapalan paling sibuk di dunia. - AFP

Berita Harian X