Jumaat, 26 November 2021 | 7:14am
Setiausaha Kesihatan Britain, Sajid Javid. - Foto AFP
Setiausaha Kesihatan Britain, Sajid Javid. - Foto AFP

UK larang kemasukan dari 6 negara Afrika

LONDON: United Kingdom (UK) semalam melarang kemasukan pengembara dari enam negara Afrika selepas mengesan kemunculan varian baharu COVID-19 B.1.1.529 dengan bilangan mutasi yang tinggi.

Setiausaha Kesihatan UK, Sajid Javid, berkata petunjuk awal yang diperoleh pihaknya mengenai varian itu ialah ia mungkin lebih mudah menular berbanding varian Delta dan vaksin yang ada pada masa ini mungkin kurang berkesan terhadapnya.

Katanya, varian yang dikaitkan dengan peningkatan kes di Afrika Selatan itu juga dikesan dalam kalangan pengembara dari negara itu di Botswana dan Hong Kong, namun sehingga kini belum lagi ditemui di Britain.

Kata Sajid, sekumpulan saintis British benar-benar peka dengan masalah itu dan melarang semua penerbangan dari Afrika Selatan, Namibia, Lesotho, Eswatini, Zimbabwe dan Botswana bermula hari ini sebagai langkah berjaga-jaga.

"Kami akan meminta semua pengembara yang tiba dari negara berkenaan dari jam 4 pagi (waktu tempatan) Ahad ini untuk menjalani kuarantin di hotel.

"Jika sesiapa tiba sebelum waktu itu, perlu melakukan kuarantin kendiri di rumah dan menjalani ujian saringan PCR pada hari kedua dan kelapan.

"Mereka yang tiba dari salah satu negara berkenaan dalam tempoh 10 hari lepas juga akan diminta mengambil ujian PCR," katanya.

Britain adalah antara negara yang teruk dilanda COVID-19 dengan rekod 144,000 kematian sejak bermulanya pandemik itu awal tahun lalu.

Kes positif dilaporkan kekal tinggi dengan lebih 47,000 direkodkan dalam tempoh 24 jam pada Khamis walaupun lebih 80 peratus mereka yang berusia 12 tahun dan ke atas sudah menerima dua suntikan vaksin.

Hampir 29 peratus menerima suntikan dos penggalak sebagai sebahagian usaha kerajaan untuk mengurangkan beban perkhidmatan kesihatan yang berisiko terkesan ketika musim sejuk apabila jangkitan pernafasan akibat cuaca itu semakin tinggi.

Kerajaan Britain sebelum ini dikritik hebat kerana dasar perjalanan dan kuarantin sebelum wabak itu, apabila ia mengekalkan sempadannya dibuka kepada pelancong asing walaupun kadar jangkitan meningkat. - AFP

Berita Harian X