Khamis, 25 November 2021 | 5:15pm
Kenderaan penyelamat berkumpul di lombong Listvyazhnaya di barat daya Siberia. - Foto AGENSI
Kenderaan penyelamat berkumpul di lombong Listvyazhnaya di barat daya Siberia. - Foto AGENSI

6 maut, puluhan hilang dalam kemalangan lombong arang batu

MOSCOW: Sekurang-kurangnya enam orang maut dan puluhan lagi dipercayai hilang dalam kemalangan yang berlaku dalam lombong arang batu Russia di Siberia.

Terdapat 285 orang berada dalam lombong arang batu Listvyazhnaya di wilayah Kemerovo berhampiran bandar Belovo apabila kemalangan berlaku.

Perkara itu disahkan gabenor tempatan, Sergei Tsivilev menerusi Telegram.

Setakat ini belum ada kenyataan rasmi mengenai punca kemalangan itu berlaku yang mana pada 2004, pernah berlaku letupan metana sehingga membunuh 13 orang.

Tsivilev berkata, sekurang-kurangnya enam orang maut dalam kemalangan yang berlaku hari ini, manakala 49 lagi terperangkap dalam lombong berkenaan.

"Tiada komunikasi dengan mereka," katanya.

Menurut Kementerian Kecemasan, baki yang lain dalam lombong itu sudahpun diselamatkan dan dibawa keluar.

Seramai 45 orang cedera.

Penyiasatan tempatan berkata, asap memenuhi segenap ruang lombong berkenaan sekitar jam 8:35 pagi hari ini.

Berdasarkan maklumat awal, mereka berkata sebilangan pekerja mengalami keracunan asap.

Siaran televisyen tempatan Russia menyiarkan imej penyelamat dan penyiasat sedang bertungkus-lumus di kawasan kejadian ketika salji turun.

Lombong Liztvyazhnaya dibina pada 1956 dan ia dimiliki oleh syarikat SDS-Ugol yang berpangkalan di bandar Kemerovo.

Menurut laporan media Russia, selain insiden letupan di lombong sama pada 2004, pernah berlaku letusan yang membunuh lima orang di fasiliti sama pada 1981.

Kemalangan di kawasan lombong boleh dikatakan kejadian biasa di Russia dan di seluruh negara bekas jajahan Kesatuan Soviet kerana mengamalkan piawaian keselamatan lemah, kurang pengawasan keadaan kerja atau masih menggunakan peralatan lama ketika era Soviet.

Dalam satu insiden terburuk pernah berlaku baru-baru ini, sebuah empangan haram pecah di lombong emas di Siberia pada Oktober 2019, mengakibatkan 17 orang maut.

Pada bulan sama, tiga orang terbunuh dalam satu kemalangan di sebuah lombong di Artik, kepunyaan kumpulan Nickel Norilsk, syarikat pengeluar nikel dan paladium terbesar.

Pada Ogos 2017, seramai lapan orang hilang selepas banjir membadai seluruh lombong berlian Siberia yang diuruskan syarikat Alrosa milik Russia.

Firma itu adalah pengeluar berlian kasar terbesar dunia.

Selepas enam minggu, Alrosa mengumumkan syarikat itu menghentikan operasi menyelamat.

Kemalangan lombong paling buruk di Russia terjadi di lombong Raspadskaya di Siberia.

Ia adalah lombong arang batu terbesar negara itu. Kejadian berlaku pada 2010 apabila ia mengakibatkan seramai 91 orang maut dan lebih 100 cedera.

Insiden itu berlaku akibat letupan metana ketika lebih 300 pelombong sedang bekerja.

Letupan kedua menyaksikan sekumpulan penyelamat terperangkap dalam lombong itu.

Berikutan kerap berlakunya kemalangan yang membawa maut, beberapa kumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menekankan mengenai aspek amalan alam sekitar di lombong di negara itu yang menjadi salah satu pengeluar emas terbesar dunia. - AFP

Berita Harian X