Khamis, 25 November 2021 | 7:38am
Menteri Dalam Negeri Perancis, Gerald Darmanin, bercaap kepada pemberita di luar sebuah hospital di Calais, utara Perancis, yang menempatkan mayat 31 mangsa bot karam. - Foto AFP
Menteri Dalam Negeri Perancis, Gerald Darmanin, bercaap kepada pemberita di luar sebuah hospital di Calais, utara Perancis, yang menempatkan mayat 31 mangsa bot karam. - Foto AFP

Lebih 30 maut dalam tragedi di Selat Inggeris

CALAIS: Sekurang-kurangnya 31 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang mahu menyusup masuk ke England maut apabila bot dinaiki mereka karam di luar pantai utara Perancis, semalam.

Ia disifatkan sebagai tragedi terburuk dan bencana paling mengerikan sejak Selat Inggeris itu menjadi hab lintasan rahsia.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron, berikrar negara itu tidak rela membenarkan selat itu menjadi 'tanah perkuburan' dan menggesa mesyuarat tergempar menteri Eropah berhubung krisis terbabit.

"Ini adalah nilai utama kita di Eropah iaitu kemanusiaan dan penghormatan terhadap maruah setiap orang termasuk semua yang sedang berkabung sekarang," katanya.

Ini adalah bencana mengakibatkan kematian yang terburuk sejak 2018, apabila PATI mula beramai-ramai menyeberangi selat menggunakan bot, sekali gus meningkatkan ketegangan antara London dan Paris mengenai isu itu.

Pendakwa raya sudah membuka kertas siasatan pembunuhan beramai-ramai selepas bot itu dilaporkan karam di bandar pelabuhan utara Calais.

Menteri Dalam Negeri, Gerald Darmanin, berkata empat suspek penyeludup yang didakwa mempunyai kaitan secara langsung dengan lintasan itu ditahan dalam bot panjang.

Darmanin memberitahu pemberita di Calais, hanya dua mangsa terselamat ditemui dan nyawa mereka kini dalam bahaya.

Jelas beliau, lima wanita dan seorang kanak-kanak perempuan adalah antara mangsa yang maut manakala status kewarganegaraan PATI terbabit itu tidak jelas.

Perdana Menteri, Jean Castex, akan mengadakan mesyuarat krisis hari ini, menurut kenyataan dikeluarkan pejabatnya.

Terdahulu, kata pegawai Perancis, tiga helikopter dan tiga bot yang menjalankan operasi mencari di kawasan itu menemui mayat serta dan mangsa yang tidak sedarkan diri di dalam air, selepas seorang nelayan membunyikan penggera.

Kira-kira 50 mangsa disyaki berada di atas kapal yang bertolak dari Dunkirk di timur Calais itu, menurut polis. - AFP

Berita Harian X