Khamis, 14 Oktober 2021 | 9:04am
Asal usul sesuatu virus maut perlu dikaji untuk dicegah daripada merebak pada masa depan - Ghebreyesus. FOTO AFP
Asal usul sesuatu virus maut perlu dikaji untuk dicegah daripada merebak pada masa depan - Ghebreyesus. FOTO AFP

WHO tubuh pasukan penyelidik kaji patogen

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menubuhkan satu pasukan khas dianggotai 26 saintis bagi menyelidik patogen (bakteria atau virus penyebab penyakit) baharu dan langkah mencegah kemunculan pandemik pada masa depan.

Pasukan penyelidik ini juga akan melakukan ujian dan siasatan mengenai asal usul kemunculan virus COVID-19 yang setakat ini menyebabkan 4.5 juta penduduk maut sejak ia dikesan di Wuhan, China pada Disember 2019.

Kumpulan ini juga bertanggungjawab menghasilkan satu kerangka kerja baharu global bagi kajian asal usul patogen yang berpotensi mencetuskan pandemik seperti SARS-CoV-2, virus yang mengakibatkan COVID-19.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, kemunculan virus baharu yang berpotensi mencetuskan wabak dan pandemik adalah hakikat alam tetapi perlu dikaji asal usulnya untuk langkah pencegahan.

"SARS-CoV-2 (COVID-19) adalah virus yang baharu, namun ia juga bukan yang terakhir. Kita perlu memahami dari mana asal usul patogen baharu ini supaya dapat dicegah menjadi wabak pada masa depan," katanya, semalam.

Kumpulan 26 saintis terbabit dipilih menyertai pasukan khas itu selepas WHO menerima 700 permohonan daripada pakar dalam pelbagai bidang akademik.

Mereka yang terpilih adalah Ketua Institut Virologi Berlin, Christian Drosten; Yungui Yang dari Institut Genomik Beijing; Jean-Claude Manuguerra dari Institut Pasteur dari Perancis dan Inger Damon dari Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat.

Beberapa pakar lain adalah saintis menjalankan kajian asal usul COVID-19 WHO-China iaitu Farag Elmoubasher, Thea Fischer, Marion Koopmans, Hung Nguyen dan John Watson.

WHO sebelum ini mendapati beberapa wabak membawa maut muncul kembali sejak beberapa tahun kebelakangan ini seperti Sindrom Pernafasan Asia Barat (MERS), selsema burung, Lassa, Marburg dan Ebola.

Pada awal tahun ini, WHO mengumumkan akan mewujudkan Kumpulan Penasihat Saintifik Mengkaji Asal usul Patogen Novel (SAGO).

Pasukan khas ini dipertanggungjawab untuk menasihat WHO bagi mewujudkan, memantau dan menyokong kajian baharu mengenai asal usul sesuatu virus, termasuk saranan segera kepada pelan operasi badan itu bagi melaksanakan kaji selidik baharu terhadap sesuatu pandemik.

Ketua Teknikal COVID-19 WHO, Maria Van Kerkhove berkata, SAGO akan segera mengenal pasti virus baharu, apa yang belum diketahui mengenainya dan tindakan wajar yang harus dilakukan segera. - AFP

Berita Harian X