Selasa, 12 Oktober 2021 | 8:30pm
Gambar menunjukkan vaksin COVID-19 Moderna. - Foto AFP
Gambar menunjukkan vaksin COVID-19 Moderna. - Foto AFP

Moderna enggan kongsi formula vaksin COVID-19

ROM: Pengeluar vaksin Moderna tidak berhasrat berkongsi formula vaksin COVID-19 keluarannya tetapi sedia meningkatkan pengeluaran bagi bekalan global.

Eksekutif syarikat itu merumuskan bahawa itu adalah langkah terbaik bagi memenuhi permintaan vaksin di seluruh dunia.

Bagaimanapun, menurut Pengerusi Moderna, Noubar Afeyan, syarikat itu tidak akan mendakwa pelanggaran hak paten terhadap pengeluar lain yang membangunkan vaksin sama ketika wabak melanda.

Sebelum ini, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengesyorkan supaya Moderna berkongsi formula vaksin berkenaan termasuk memberi hak pengeluaran kepada pembuat vaksin lain.

Afeyan berkata pihaknya mampu meningkatkan pengeluaran dan sudah pun memulakannya, daripada satu bilion dos tahun ini kepada tiga bilion dos menjelang 2022.

"Kami komited memainkan peranan kami, pihak lain juga sedia memainkan peranan masing-masing dan tempoh enam ke sembilan bulan akan datang adalah mencukupi untuk hasilkan vaksin berkualiti tinggi dengan kaedah yang cekap.

"Oleh itu, saya berpendapat, di sebalik anggapan yang menyatakan kami tidak mempunyai kapasiti yang cukup, hakikatnya kami boleh lakukannya.

"Kami bergerak dari kedudukan pengeluaran sifar ke produksi satu bilion dos dalam tempoh kurang setahun dan saya fikir kita boleh tambahkan lagi," katanya pada satu sidang media di Rom.

Tambah Afeyan, selepas menganalisis sama ada lebih baik untuk berkongsi teknologi mRNA, Moderna memutuskan ia mampu memperluaskan pengeluaran serta menghasilkan berbilion dos tambahan pada 2022.

Vaksin COVID-19 adalah satu-satunya produk komersial Moderna, yang tidak menghasilkan sebarang produk lain.

Syarikat itu minggu lalu mengumumkan rancangan membuka kilang vaksin di Afrika, namun ia mungkin memakan masa bertahun untuk membangunkannya. - AGENSI

Berita Harian X