Jumaat, 5 March 2021 | 9:47am
Kediaman penduduk di Damasi, Greece, rosak akibat gempa bumi, semalam. - FOTO EPA
Kediaman penduduk di Damasi, Greece, rosak akibat gempa bumi, semalam. - FOTO EPA

Greece digegarkan satu lagi gempa bumi

ATHENS: Satu lagi gempa bumi menggegarkan Greece di kawasan berhampiran bandar Larissa, semalam, menurut Balai Cerap Seismologi Athens.

Kejadian berlaku sehari selepas gempa bumi lebih kuat melanda wilayah sama yang menyebabkan 11 orang mengalami kecederaan.

Agensi terbabit berkata, gempa bumi pada jam 8.38 malam itu melanda kira-kira 16 kilometer dari Elassona yang terletak berhampiran Larissa dan disifatkan sebagai 'sangat kuat'.

Setakat ini, katanya, tiada kecederaan dilaporkan akibat kejadian gempa bumi baharu itu.

Perkhidmatan kecemasan pula memberitahu bahawa gempa bumi itu yang berukuran 5.6 magnitud menurut agensi Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), telah mengakibatkan runtuhan batu berdekatan biara ortodok Meteora di Kalabaka yang berada dalam senarai Warisan Dunia, Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Selain itu, ia membawa kerosakan baharu pada bangunan yang sudahpun terjejas akibat gempa bumi sehari sebelumnya.

Siaran saluran televisyen ERT pula menunjukkan keadaan orang ramai yang panik di jalanan susulan kejadian itu.

Sementara itu, ketua pihak berkuasa perlindungan gempa bumi Greece, Efthymis Lekkas, memberitahu radio Skai bahawa insiden itu berlaku kira-kira lima kilometer dari pusat gempa yang melanda kelmarin. - AFP

Berita Harian X