Sabtu, 13 Februari 2021 | 12:52pm
(Gambar fail) Pengarah ECDC, Dr Andrea Ammon. - FOTO AFP
(Gambar fail) Pengarah ECDC, Dr Andrea Ammon. - FOTO AFP

Pandemik COVID-19 boleh berlanjutan untuk tempoh tidak pasti - ECDC

STOCKHOLM: Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah (ECDC) memberi amaran pandemik COVID-19 boleh berlanjutan untuk suatu tempoh tidak pasti.

Agensi terbabit menegaskan kebimbangan itu walaupun kadar jangkitan baharu di dunia mencatat penurunan dan sejumlah negara sudah memulakan program vaksinasi.

Dalam satu wawancara dengan AFP, semalam, Pengarah ECDC, Dr Andrea Ammon, menggesa negara Eropah supaya tidak lalai terhadap ancaman virus itu.

Beliau berkata, virus berkenaan dilihat berupaya membuat penyesuaian untuk menyerang manusia, justeru menuntut pakar melakukan perubahan terhadap vaksin dari semasa ke semasa.

"Oleh itu, kita harus sentiasa bersedia menghadapi virus berkenaan," katanya.

Secara global, pangkalan data AFP menunjukkan kadar jangkitan baharu COVID-19 kini menurun 44.5 peratus sejak sebulan lalu.

Wabak itu telah menjangkiti lebih 107 juta orang dan meragut hampir 2.4 juta nyawa di seluruh dunia.

Bagaimanapun, pakar memberi amaran bahawa vaksin tidak akan menamatkan pandemik itu kecuali jika semua negara memperoleh dos terbabit dengan cepat dan secara saksama.

Melalui sepucuk surat terbuka disiarkan dalam jurnal perubatan Lancet, penulis terbabit menegaskan bahawa pengagihan vaksin yang lebih tertumpu di negara kaya boleh menyebabkan usaha membendung penularan COVID-19 pada peringkat global mengambil masa bertahun-tahun. - AFP

Berita Harian X