Isnin, 21 Disember 2020 | 7:04am

WHO gesa tindakan proaktif bendung varian baharu virus

COPENHAGEN: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meminta anggotanya di Eropah untuk meningkatkan langkah melawan coronavirus dalam menghadapi varian baharu yang menular di Britain.

Di luar Britain, sembilan kes varian (strain) baharu dilaporkan di Denmark, manakala masing-masing satu kes di Belanda dan Australia, menurut WHO.

"Di seluruh Eropah, di mana penularannya cepat dan meluas, negara-negara perlu menggandakan pendekatan kawalan dan pencegahan mereka," kata seorang jurucakap WHO Eropah kepada AFP.

Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu menggesa anggotanya di seluruh dunia untuk meningkatkan tindakan mengurus virus SARS-CoV-2 sebaik mungkin dan berkongsi data di peringkat antarabangsa, khususnya melaporkan jika terdapat mutasi yang sama," katanya.

Semalam, beberapa negara Eropah memutuskan untuk menghentikan semua penerbangan dari Britain selepas penemuan strain baharu yang menurut London adalah "di luar kawalan."

WHO memahami bahawa "tanda-tanda awal varian mungkin dapat disebarkan lebih mudah antara orang ramai" dan "maklumat awal bahawa varian itu dapat mempengaruhi beberapa ujian diagnostik."

Pertubuhan itu mengatakan "tidak ada bukti untuk menunjukkan adanya perubahan tahap bahaya penyakit, tetapi ini juga sedang disiasat."

Pusat Pencegahan dan Pengendalian Penyakit Eropah (ECDC) pula mengatakan "peredaran berterusan varian di luar United Kingdom (UK) tidak boleh dikecualikan."

ECDC menasihatkan bahawa "orang yang mempunyai kaitan epidemiologi dengan varian baharu atau sejarah perjalanan ke daerah yang diketahui terjejas harus segera dikenal pasti untuk diuji, diasingkan dan susulan dibuat ke atas kontak mereka untuk menghentikan penyebaran varian baharu."

Nama saintifik strain baharu adalah VUI 202012/01, dengan VUI mewakili 'Variant Under Investigation'.

Minggu lalu, Eropah menjadi benua pertama di dunia yang melepasi 500,000 kematian akibat COVID-19 sejak wabak itu merebak setahun yang lalu, membunuh lebih 1.6 juta penduduk dunia dan mencetuskan pergolakan ekonomi global.

Negara-negara menutup ekonomi mereka dengan sekatan dalam usaha membendung penularan virus. - AFP

Berita Harian X