Sabtu, 12 Disember 2020 | 1:14pm
EU rancang perkenal undang-undang kawal dan pantau gergasi internet. - Foto AFP
EU rancang perkenal undang-undang kawal dan pantau gergasi internet. - Foto AFP

EU bakal perkenal undang-undang kawal Facebook, Google

BRUSSELS: Firma teknologi gergasi Amerika Syarikat (AS) seperti Facebook dan Google bakal berdepan sistem perundangan baharu di Eropah, ketika Kesatuan Eropah (EU) bersedia mengemukakan usul penting yang bakal mengubah aktiviti dalam talian.

EU mahu Akta Perkhidmatan Digital dan Akta Pasaran Digital mengenakan peraturan ketat kepada firma internet gergasi untuk menjalankan perniagaan dalam blok 27 negara anggota itu.

Firma teknologi terbesar yang akan disebut sebagai 'penjaga' (gatekeeper) internet, akan tertakluk kepada peraturan tertentu, dalam usul yang akan dikemukakan Naib Presiden EU, Margrethe Vestager dan pesuruhjaya Thierry Breton, Selasa ini.

"Kita berada pada situasi kuasa perniagaan digital, khususnya penjaga internet yang besar, mengancam kebebasan, peluang, malah demokrasi kita.

"Maka, untuk penjaga internet terbesar dunia, situasi akan berubah. Mereka perlu mengambil lebih banyak tanggungjawab," kata Vestager.

Usul itu akan melalui proses ratifikasi yang panjang dan kompleks, membabitkan 27 negara anggota EU, Parlimen Eropah dan syarikat serta persatuan perdagangan yang akan melobi untuk mempengaruhi undang-undang di peringkat akhir.

Perancis dan Belanda sebelum ini menyatakan persetujuan untuk Eropah memiliki segala undang-undang yang diperlukan bagi mengawal firma terbabit, termasuk kuasa menutup mereka.

Sejak beberapa tahun lalu, EU mengetuai usaha untuk mengawal kuasa firma teknologi gergasi, dengan mengenakan denda bernilai berbilion terhadap Google, namun pengkritik berpandangan langkah itu tidak memberi kesan besar.

EU sebelum ini pernah mengarahkan Apple membayar berbilion euro cukai kepada Ireland, namun keputusan itu dibatalkan oleh mahkamah tertinggi EU.

Jika menjadi kenyataan, Google, Facebook, Apple dan Amazon serta beberapa firma lain yang dilihat seperti bank gergasi, akan tertakluk kepada pemantauan khas dan terikat dengan peraturan baharu itu.

Bagaimanapun, firma teknologi memohon pertimbangan dan berharap mereka tidak dilihat berdasarkan saiz syarikat semata-mata.

"Kita mungkin akan berakhir dengan peraturan ketat dan tegas yang menyasarkan saiz syarikat berbanding amalan yang bermasalah," kata Kayvan Hazemi-Jebelli dari Persatuan Industri Komputer dan Komunikasi. - AFP

Berita Harian X