Selasa, 1 Disember 2020 | 9:29am

COVID-19: WHO bimbang peningkatan kes di Brazil, Mexico

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyuarakan kebimbangan dengan peningkatan kes COVID-19 yang semakin buruk di Brazil dan Mexico, dan meminta kerajaan negara itu 'lebih serius' membendung pandemik itu.

Kedua-dua negara itu terus menunjukkan peningkatan kes jangkitan dan kematian sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata pandemik COVID-19 di Brazil dan Mexico 'sangat membimbangkan'.

"Kita berpendapat (keadaan jangkitan COVID-19) di Brazil sangat, sangat serius, begitu juga di Mexico kerana negara itu juga 'berada dalam keadaan buruk.

"Jumlah kes jangkitan naik dua kali ganda begitu juga jumlah kematian meningkat dua kali ganda ... kami ingin meminta kerajaan Brazil dan Mexico serius menangani pandemik berkenaan," katanya kepada wartawan semalam.

Brazil menjadi satu daripada negara yang paling teruk terjejas wabak itu dengan lebih daripada 172,000 orang mati akibat virus COVID-19, jumlah kedua tertinggi di dunia, selepas Amerika Syarikat.

Data menunjukkan lebih 1,000 kematian sehari direkodkan di Brazil yang mempunyai 212 juta penduduk antara Jun hingga Ogos lalu.

Tedros berkata, pada minggu pertama bulan lalu menyaksikan 2,538 kes kematian meningkat berbanding 3,876 kes kematian pada minggu lalu.

Jumlah kes positif COVID-19 juga meningkat dua kali ganda dalam tempoh yang sama, dengan Brazil mencatatkan 218,000 kes minggu lalu sahaja.

Sementara itu, Mexico menyaksikan jumlah kematian berjumlah 100,000 pada 20 November lalu dan pada hujung minggu buat kali pertama, jumlahnya melebihi 12,000 kes jangkitan COVID-19 sehari. - AFP

Berita Harian X