Sabtu, 21 November 2020 | 10:12pm
Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan. - Foto AFP
Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan. - Foto AFP

Erdogan minta EU tidak diskriminasi Turki

ISTANBUL: Presiden Recep Tayyip Erdogan hari ini meminta Kesatuan Eropah (EU) untuk berdialog, memperingatkan blok itu untuk tidak menjadi alat permusuhan tatkala meningkatnya ketegangan di wilayah timur Mediteranean.

Penghantaran kapal Turki untuk mencari gas di perairan yang dituntut oleh Greece mencetuskan perang mulut sengit dengan negara anggota EU, yang awal bulan ini melancarkan sekatan terhadap Ankara selama setahun lagi.

Langkah-langkah itu termasuk membenarkan larangan visa dan pembekuan aset terhadap individu yang terbabit dalam eksplorasi gas yang dipertikaikan di Mediterranean.

"Kami mengharapkan EU untuk menepati janjinya, tidak membeza-bezakan kami atau setidaknya tidak menjadi alat untuk membuka permusuhan yang mensasarkan negara kami," kata Erdogan dalam pidato video kepada kongres parti pemerintahannya.

"Kami tidak melihat ke tempat lain selain di Eropah," tambahnya. "Kami merancang untuk membangun masa depan kami bersama-sama dengan Eropah."

Mesej Erdogan hadir tatkala pemimpin EU akan memutuskan dalam sidang kemuncak bulan Disember sama ada untuk mengenakan sekatan lebih lanjut terhadap aktiviti Turki baru-baru ini.

Kapal penerokaan Turki, Oruc Reis kekal menjadi pusat ketegangan hari ini, yang mana Ankara melanjutkan misinya di Mediterranean timur hingga 29 November, walaupun terdapat bantahan dari Athens.

Dalam ucapan yang sama, Erdogan mengatakan Turki ingin 'secara aktif menggunakan hubungan sekutunya yang panjang dan erat dengan Amerika Syarikat (AS) untuk penyelesaian masalah serantau dan global'.

Beliau bukan antara pemimpin dunia pertama yang mengucapkan tahniah kepada Presiden yang dipilih, Joe Biden.

Dan ketika beliau menikmati hubungan erat dengan Presiden AS, Donald Trump, berlaku ketegangan antara kedua-dua negara mengenai beberapa isu.

Pembelian sistem pertahanan peluru berpandu berteknologi tinggi Russia oleh Turki membuatkan Washington marah, manakala Ankara telah memprotes penolakan AS untuk mengekstradisi seorang ulama Muslim yang Erdogan salahkan kerana melakukan rampasan kuasa 2016 yang gagal. - AFP

Berita Harian X