Isnin, 16 November 2020 | 7:31am
(Gambar fail) Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus. - FOTO AFP
(Gambar fail) Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus. - FOTO AFP

COVID-19: 660,905 kes baharu kelmarin, angka harian tertinggi dicatatkan WHO

GENEVA: Papan makluman jumlah kes COVID-19 bawah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), mencatatkan rekod angka jangkitan harian, hujung minggu lalu.

Ia menunjukkan sebanyak 660,905 kes wabak berkenaan dilaporkan kepada WHO, kelmarin, iaitu angka harian tertinggi, setakat ini.

Angka itu dan 645,410 kes yang dilaporkan pada Jumaat lalu, melepasi rekod harian 614,013 jangkitan pada 7 November.

Daripada jumlah kes baharu dicatatkan kelmarin, WHO bagi rantau Amerika turut merekodkan angka harian tertinggi sebanyak 269,225 jangkitan.

Setiap minggu, jumlah kes dilaporkan kepada WHO dilihat sebagai cenderung memuncak menjelang Jumaat, Sabtu dan Ahad, sebelum kembali menurun pada Selasa serta Rabu.

Berdasarkan perangkaan WHO, sejumlah lebih 53.7 juta jangkitan COVID-19 telah dilaporkan sejak pandemik itu tercetus, dengan lebih 1.3 juta kematian.

Jumaat lalu, Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, memberi amaran bahawa 'perjalanan masih jauh' dalam usaha mengawal virus itu di seluruh dunia.

Sebanyak 9,928 kematian dilaporkan kepada WHO pada Khamis lalu, diikuti Jumaat (9,567) dan Sabtu (9,924), sekali gus menjadi kali pertama lebih 9,500 korban dicatatkan dalam tempoh tiga hari berturut-turut.

Bilangan korban pada Khamis lalu muncul yang tertinggi selepas 10,012 kematian dilaporkan pada 15 Ogos, dan merupakan angka harian ketiga tertinggi sepanjang tempoh pandemik itu, setakat ini - angka lebih tinggi sebelum ini dilihat sebagai berikutan pelaporan tidak biasa.

"Tiada negara boleh menyatakan mereka sudah cukup bersedia menghadapi COVID-19, ataupun tidak ada sebarang iktibar yang boleh diambil," kata Tedros.

Beliau berkata demikian ketika menutup perhimpunan tahunan WHO di mana negara anggota meluluskan resolusi memperkukuh persediaan menghadapi kecemasan kesihatan.

Meskipun mengalu-alukan perkembangan pesat usaha menghasilkan vaksin yang selamat dan berkesan untuk mengatasi ancaman COVID-19, Tedros mengingatkan bahawa 'perjalanan masih jauh'.

Beliau turut menekankan bahawa virus itu boleh dikekang walaupun tanpa penemuan vaksin, setakat ini.

"Dunia tidak boleh 'meletakkan semua telur ke dalam sebuah bakul' dan mengabaikan banyak lagi langkah lain yang berkesan untuk mengawal virus ini," katanya. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X