Selasa, 3 November 2020 | 5:13pm
Gambar yang disiarkan oleh AFAD hari ini menunjukkan petugas penyelamat mengangkat kanak-kanak perempuan 4 tahun, Ayla Gezgin, keluar dari serpihan bangunan yang runtuh akibat gempa bumi melanda bandar pelabuhan Aegean, Izmir. - Foto AFP
Gambar yang disiarkan oleh AFAD hari ini menunjukkan petugas penyelamat mengangkat kanak-kanak perempuan 4 tahun, Ayla Gezgin, keluar dari serpihan bangunan yang runtuh akibat gempa bumi melanda bandar pelabuhan Aegean, Izmir. - Foto AFP

Kanak-kanak 4 tahun diselamatkan selepas 91 jam gempa bumi Turki

ISTANBUL: Pekerja penyelamat Turki hari ini menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun dari bawah runtuhan bangunan, 91 jam selepas gempa kuat melanda wilayah Izmir di barat Turki, menurut media tempatan, lapor Agensi Berita Xinhua.

Rakaman secara langsung penyiar NTV menunjukkan pekerja penyelamat menarik kanak-kanak itu keluar daripada runtuhan.

Seorang penyelamat memberitahu NTV pasukan itu menemui mangsa di dapur apartmennya, dan dalam keadaan baik.

Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) Turki menyatakan jumlah kematian dalam gempa bumi meningkat kepada 102 orang, dan seramai 1,026 cedera dalam gempa terbabit.

Operasi mencari dan menyelamat telah dijalankan sepanjang waktu di celah-celah runtuhan lima bangunan di wilayah itu, tambah AFAD.

Gempa berkekuatan 6.6 melanda Laut Aegea di luar daerah Seferihisar di Izmir pada Jumaat.

Turki turut melaporkan lebih daripada 1,464 gempa susulan berikutan bencana itu, termasuk 44 yang berada di atas empat skala Richter.

Selepas puluhan bangunan rosak dan risiko gegaran berulang, ribuan penduduk di Izmir terpaksa berlindung dan tidur di dalam khemah. - AGENSI

Berita Harian X