Isnin, 2 November 2020 | 7:35pm
Suasana ketegangan di Nice itu tidak menghalang penganut Katholik ke gereja untuk menyambut festival All Saints. - Foto EPA
Suasana ketegangan di Nice itu tidak menghalang penganut Katholik ke gereja untuk menyambut festival All Saints. - Foto EPA

Insiden serangan Nice: Polis tangkap dua lagi

NICE: Penganut Katholik Perancis menyambut festival keagamaan All Saints semalam dengan kawalan keselamatan ketat, ketika polis membuat dua penangkapan baharu ada kaitan serangan ke atas sebuah gereja di bandar Selatan Nice oleh lelaki Islam bersenjatakan pisau.

Tiga orang terbunuh akibat serangan maut Khamis lalu di Basilika Notre-Dame, yang menurut pendakwaraya dilakukan oleh pemuda warga Tunisia yang baharu tiba di Eropah.

Insiden itu adalah serangan terbaru di Perancis yang digambarkan kerajaan sebagai tindakan pengganas Islam, selepas penerbitan kartun Nabi Muhammad oleh Charlie Hebdo pada September yang mencetuskan kemarahan.

Di Nice, tiga lelaki dibebaskan dari tahanan polis semalam, selepas pihak berkuasa memutuskan mereka tiada kaitan dengan suspek penyerang, Brahim issaoui, menurut sumber rapat dengan siasatan.

Tiga lelaki masih ditahan termasuk seorang warga Tunisia berusia 29 tahun yang disyaki berhijrah bersama Issaoui dari tanah air mereka ke Perancis.

Bagaimanapun, ketegangan itu tidak menghalang penganut Katholik ke gereja untuk menyambut festival All Saints di Nice, yang mana pihak berkuasa membenarkan pengecualian ketika perintah berkurung susulan penularan COVID-19.

"Saya khuatir, saya takut datang," kata Claudia, 49 yang masih ke gereja kerana yakin dengan kehadiran tentera yang bersenjata.

"Kita perlu menunjukkan bahawa kita tidak takut dan kita ada di sini," katanya yang mengikuti beberapa penganut lain masuk ke gereja yang dihadiri sekitar 150 orang untuk memberi penghormatan kepada ketiga-tiga mangsa.

Issaoui ditembak berapa kali oleh polis dan kini berada dalam keadaan kritikal di hospital.

Penyiasat tidak dapat menyoalnya dan motifnya masih belum jelas.

Menteri Dalam Negeri, Gerald Darmanin, berkata Issaoui secara jelas pergi ke Nice untuk membunuh.

"Jika tidak, bagaimana kita dapat menjelaskan bahawa dia bersenjatakan pisau baharu saja tiba?... Dia jelas tidak datang sekadar untuk mendapatkan dokumennya," kata Darmanin kepada akhbar Voix du Nord.

Penyiasat percaya Issaoui melakukan perjalanan ke Eropah melalui Pulau Lampedusa pada 20 September.

Suspek 21 tahun itu tiba di pelabuhan Bari pada 9 Oktober sebelum tiba di Nice, dua hari sebelum serangan.

Individu terbaru yang ditahan, berusia 25 dan 63 tahun ditangkap pada Sabtu di kediaman warga Tunisia berusia 29 tahun yang ditangkap sehari sebelum, kata sumber kehakiman kepada AFP.

Penahanan warga Tunisia 'disyaki bersama dengan' Issaoui semasa perjalanan mereka ke Eropah, kata sumber terdekat dengan siasatan itu kepada AFP sambil menambah, suspek mungkin juga tiba di Perancis baru-baru ini. - AFP

Berita Harian X