Ahad, 1 November 2020 | 7:50pm
Anggota penyelamat menurunkan mayat mangsa keluar dari bangunan yang runtuh di Izmir, Turki. - Foto AFP
Anggota penyelamat menurunkan mayat mangsa keluar dari bangunan yang runtuh di Izmir, Turki. - Foto AFP

Kematian gempa bumi di Turki meningkat kepada 51 orang

BAYRAKLI: Pasukan penyelamat meneruskan pencarian di lapan bangunan yang musnah di Izmir biarpun peluang tipis untuk menemui mangsa yang terselamat selepas kematian akibat gempa kuat di barat Turki meningkat kepada 51 orang.

Gempa berkekuatan 7 pada skala Richter itu mencederakan 896 orang, menurut Agensi Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) Turki, selepas gegaran petang kelmarin berhampiran bandar pantai barat Seferihisar di wilayah Izmir.

Naib Presiden, Fuat Oktay, berkata jumlah kematian meningkat hingga 51 orang ketika lawatannya ke Izmir manakala hampir 300 bangunan mengalami kerosakan biarpun kebanyakannya hanya kerosakan kecil.

Semalam, 33 jam selepas gempa itu, seorang lelaki berusia 70 tahun berjaya ditarik keluar dari runtuhan dan dibawa ke hospital.

Bandar Turki yang paling teruk terjejas adalah Bayrakli, di mana keluarga yang masih trauma dengan tragedi itu memakai selimut tebal dan menghabiskan masa berlindung di khemah.

Sebahagiannya memerhatikan dengan gelisah ketika pasukan penyelamat menyelongkar serpihan runtuhan untuk hari kedua.

Mereka juga menyatakan kebimbangan bahawa harapan untuk mencari lebih banyak mangsa terselamat semakin pudar.

Namun, seorang anggota penyelamat di lokasi sebuah bangunan yang runtuh memberitahu AFP bahawa mereka percaya sekurang-kurangnya 10 mangsa masih berada di bawah runtuhan.

Hampir 6,000 anggota penyelamat bekerja siang dan malam sejak Jumaat lalu, dibantu jentera penggali untuk membuang bongkah konkrit.

Ribuan khemah didirikan sejak arahan dikeluarkan yang meminta supaya penduduk tidak kembali ke rumah mereka.

Turki melaporkan lebih 800 gempa susulan berlaku selepas gempa pertama, termasuk 40 gegaran berkekuatan empat pada skala Richter.

Dua remaja dalam perjalanan pulang dari sekolah dilaporkan terbunuh di Greece, berikutan gempa yang menyebabkan tsunami kecil di pulau Samos dan air dari laut melimpah menjadikan jalan seperti sungai. - AFP.

Berita Harian X