Sabtu, 31 Oktober 2020 | 10:26pm
Presiden Perancis, Emmanuel Macron. - Foto AFP
Presiden Perancis, Emmanuel Macron. - Foto AFP

Macron faham umat Islam terkejut dengan kartun Nabi Muhammad SAW

PARIS: Presiden Perancis, Emmanuel Macron, berkata beliau memahami jika umat Islam 'terkejut' dengan kartun yang menggambarkan Nabi Muhammad SAW.

"Saya memahami orang akan terkejut dengan karikatur terbabit, namun saya tidak boleh menerima keganasan disebabkan perkara itu.

"Menjadi tanggungjawab kami untuk melindungi kebebasan dan hak kami," katanya dalam satu temubual bersama Al-Jazeera.

Macron sebelum ini menimbulkan kemarahan umat Islam apabila mempertahankan penerbitan kartun menggambarkan Nabi Muhammad SAW oleh majalah mingguan, Charlie Hebdo, atas alasan kebebasan bersuara.

Dalam pada itu, pihak berkuasa sedang menyiasat sama ada seorang pemuda Tunisia yang ditahan selepas disyaki mengamuk dan membunuh tiga orang di sebuah gereja di Nice baru-baru ini, mendapat bantuan pihak luar.

Brahim Issaoui, 21, yang tiba dari Tunisia bulan lalu, dan menurut pendakwa raya, dituduh kerana membunuh tiga individu dalam serangan di Notre-Dame Basilica, Khamis lalu.

Serangan itu berlaku ketika Perancis masih terkejut dengan tragedi seorang guru dipenggal lehernya di luar sebuah sekolah selepas memaparkan karikatur Nabi Muhammad SAW. - AFP

Berita Harian X