Jumaat, 30 Oktober 2020 | 10:52pm
Gambar menunjukkan kereta dan bangunan musnah akibat gempa bumi kuat yang melanda pantai barat Turki dan beberapa bahagian di Greece. - Foto AFP
Gambar menunjukkan kereta dan bangunan musnah akibat gempa bumi kuat yang melanda pantai barat Turki dan beberapa bahagian di Greece. - Foto AFP

4 maut, 120 cedera di Turki akibat gempa bumi kuat

ISTANBUL: Empat orang terbunuh dan 120 cedera apabila gempa bumi kuat melanda pantai barat Turki dan beberapa bahagian di Greece hari ini, kata menteri kesihatan Turki.

"Malangnya, empat warganegara kita kehilangan nyawa dalam gempa bumi yang memusnahkan bangunan di bandar peranginan pantai Izmir di Turki," kata Menteri Kesihatan, Fahrettin Koca.

Gempa berkekuatan 7.0 skala Richter melanda pantai barat Turki hari ini, kata Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), dengan laporan awal menunjukkan kerosakan pada bangunan tetapi tidak ada korban jiwa.

Gempa itu, yang dirasakan dari Istanbul ke Athens, Greece melanda dekat kota peranginan Turki, Izmir, yang mempunyai kira-kira tiga juta penduduk.

"Setakat ini, kami telah menerima maklumat mengenai enam bangunan yang runtuh ​​di wilayah Izmir, yang meliputi kota itu," kata Menteri Dalam Negeri Turki, Suleyman Soylu di Twitter.

"Sebilangan warga kita terjebak dalam runtuhan akibat gempa," kata Menteri Alam Sekitar Murat Kurum, sambil menambah bahawa beliau mengetahui lima bangunan runtuh.

Gambar di media sosial menunjukkan air mengalir di jalan-jalan Izmir akibat dari gelombang laut ekoran gempa bumi itu.

USGS mengatakan, gempa bumi itu terjadi 14 kilometer (km) di luar bandar Neon Karlovasion, Greece, di pulau Samos di Laut Aegean.

Agensi bencana kerajaan Turki AFAD melaporkan, skala 6.6 Richter yang lebih rendah untuk gempa itu, yang melanda pada kedalaman 16.5 km.

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dalam ciapan di Twitter berkata, beliau bersedia membantu 'dengan segala cara yang ada untuk negara kita'.

Turki terletak di salah satu zon gempa bumi yang paling aktif.

Pada 1999, gempa berkekuatan 7.4 skala Richter melanda barat laut Turki, mengorbankan lebih dari 17,000 orang, termasuk 1,000 di Istanbul.

Satu lagi gempa pada 2011 di wilayah tenggara Van mengakibatkan lebih 600 kematian. - AFP

Berita Harian X