Khamis, 29 Oktober 2020 | 8:37am
(Gambar fail) Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan. - FOTO AFP
(Gambar fail) Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan. - FOTO AFP

Erdogan tempelak kartun jijik dalam Charlie Hebdo

ISTANBUL: Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, semalam menempelak penerbitan kartun menjijikkan dalam majalah satira mingguan Perancis, Charlie Hebdo, yang memberi gambaran hina terhadap beliau.

Pejabat Erdogan berikrar untuk 'mengambil tindakan undang-undang dan diplomatik', manakala stesen televisyen NTV di Turki melaporkan Ankara turut memanggil diplomat kedua paling kanan di Kedutaan Perancis untuk menyuarakan 'kecaman sekeras-kerasnya'.

Lazimnya dalam keadaan biasa, Duta Perancis yang akan dipanggil, namun beliau telah diarahkan pulang ke Paris untuk perbincangan susulan hubungan diplomatik yang dilihat semakin keruh antara dua sekutu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) itu.

Kartun disiarkan dalam muka depan Charlie Hebdo itu menyusul beberapa hari selepas Erdogan menyeru agar produk Perancis diboikot dan mempersoalkan kewarasan Presiden Perancis, Emmanuel Macron yang mempertahankan karikatur menggambarkan Nabi Muhammad SAW.

Erdogan berkata, beliau secara peribadi tidak melihat karikatur Charlie Hebdo terbabit kerana enggan 'memberi kredit kepada penerbitan tidak bermoral seperti itu'.

"Saya tidak perlu berkata apa-apa kepada pihak tidak bermoral itu yang menghina Nabi SAW kecintaan saya.

"Saya sedih dan kecewa bukan disebabkan serangan menjijikkan ke atas diri saya, namun kerana kebiadaban disasarkan terhadap Nabi SAW yang kita cintai lebih daripada diri kita," katanya ketika berucap kepada Ahli Parlimen dalam parti beliau. - AFP

Berita Harian X