Jumaat, 16 Oktober 2020 | 2:52pm
Pengarah wilayah WHO untuk Eropah, Hans Kluge. - Foto AFP
Pengarah wilayah WHO untuk Eropah, Hans Kluge. - Foto AFP

WHO beri amaran peningkatan kes Eropah 'sangat membimbangkan'

COPENHAGEN: Negara-negara Eropah melancarkan langkah-langkah baharu yang ketat untuk mengekang lonjakan jangkitan COVID-19 yang mana Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam mengingatkannya sebagai 'sangat membimbangkan'.

Menguatkan lagi gangguan disebabkan oleh COVID-19, bahkan di koridor kekuasaan, gandingan calon presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden, Kamala Harris menangguhkan perjalanan selepas seorang petugasnya dijangkiti penyakit itu dan ketua Kesatuan Eropah (EU), Ursula von der Leyen tiba-tiba meninggalkan sidang kemuncak di Brussels dengan alasan yang sama.

Di Perancis, polis menggeledah kediaman menteri kesihatan sebagai sebahagian siasatan terhadap cara menangani krisis COVID-19 oleh kerajaan, kerana kes harian baharu mencapai 30,000 untuk pertama kalinya.

Peta yang diterbitkan oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (ECDC) EU semalam menunjukkan label merah untuk kadar penularan dan ujian positif yang tinggi kepada lebih separuh daripada 31 negara yang dipantau, termasuk anggota bukan EU.

Ketika penyakit ini terus menular, berjuta orang di England berdepan sekatan lebih ketat, termasuk larangan bercampur terhadap isi rumah.

Sementara itu, Ratu Elizabeth II membuat penampilan umum pertama di luar kediaman diraja sejak bermulanya pandemik itu, tanpa memakai pelitup muka semasa lawatan ke makmal rahsia penyelidikan kerajaan Britain.

Di seberang Selat Inggeris, perintah berkurung akan dikenakan di Paris dan lapan kota Perancis yang lain dan di Jerman terdapat batasan baharu untuk jumlah orang berkumpul di satu-satu acara.

Mengumumkan penutupan sebahagian di zon 'Merah' termasuk bandar-bandar besar, kerajaan Poland meminta orang ramai supaya jika boleh bekerja dari rumah, manakala menteri kesihatan Switzerland, Alain Berset berkata, keadaan di sana 'semakin merosot lebih cepat daripada di tempat lain'.

Kedua-dua negara berdepan tahap jangkitan baharu COVID-19 yang mencatat rekod baharu.

Dengan hampir 1.1 juta kematian akibat COVID-19 dan hampir 40 juta kes di seluruh dunia, negara-negara di banyak bahagian dunia menghadapi pilihan yang sukar untuk mengawal penyakit ini tanpa kemusnahan ekonomi dan sosial yang disebabkan oleh penutupan negara.

Di India, di mana pandemik ini menyekat budaya kegilaan filem, beberapa pawagam semalam diizinkan untuk dibuka semula untuk cuba menarik penonton kembali ke layar perak yang kekurangan wang.

Pada sidang media di Copenhagen, pengarah wilayah WHO untuk Eropah, Hans Kluge, berkata kepada wartawan bahawa sudah waktunya untuk 'meningkatkan langkah-langkah' kerana jumlah kes yang meningkat di benua itu 'sangat membimbangkan'.

Namun, beliau mengatakan keadaan tidak seburuk ketika puncak pada bulan Mac dan April, dan menekankan bahawa penutupan penuh 'di mana setiap sudut masyarakat dan ekonomi kita dihentikan' harus dielakkan. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X