Rabu, 7 Oktober 2020 | 10:32am
Tertuduh, Grzegorz Stanislaw W, hadir di Mahkamah Munich. - Foto AFP
Tertuduh, Grzegorz Stanislaw W, hadir di Mahkamah Munich. - Foto AFP

Jururawat bunuh pesakit guna insulin dipenjara seumur hidup

BERLIN: Seorang pekerja kesihatan berbangsa Poland dihukum penjara seumur hidup di Jerman semalam selepas didapati bersalah membunuh sekurang-kurangnya tiga mangsa dengan suntikan insulin berlebihan.

Kes itu mengimbau kembali hukuman penjara seumur hidup terhadap jururawat Jerman, Niels Hoegel, tahun lalu selepas didapati bersalah membunuh 85 pesakitnya.

Dalam kes terbaru ini, tertuduh yang dinamakan pendakwa raya sebagai Grzegorz Stanislaw W, 38, dijatuhkan hukuman tertinggi di Jerman oleh mahkamah di Munich dan mungkin menghabiskan seluruh hidupnya dalam penjara.

Dia pada mulanya dituduh melakukan enam pembunuhan, namun mahkamah tidak menemui bukti yang mencukupi untuk mensabitkannya dengan tiga tuduhan terbabit.

Tertuduh bagaimanapun turut didapati bersalah bagi dua kes cubaan membunuh, selain mengakibatkan kecederaan yang membahayakan dan mencuri daripada mangsanya.

Hakim Elisabeth Ehrl berkata, ramai pesakit Grzegorz Stanislaw W dan keluarga mereka mengesyaki tertuduh, malah seorang warga emas mengugut untuk terjun dari tingkap jika lelaki itu mendekatinya.

Grzegorz Stanislaw W enggan bercakap ketika perbicaraan itu, namun semalam meminta maaf kepada saudara mara mangsa dan menyatakan kekesalannya.

"Apa yang saya lakukan itu sangat kejam dan tetap kejam," katanya.

Pendakwa raya menuduhnya menyuntik pesakit di bawah jagaannya dengan insulin, yang boleh membawa maut dalam dos yang besar dan kemudian merompak mereka.

Dia mempunyai akses kepada ubat berkenaan kerana menghidap penyakit kencing manis.

Dia melawat sekurang-kurangnya 69 pesakit di beberapa bandar di Jerman, dari Bavaria di selatan ke Hanover di utara antara April 2017 dan Februari 2018.

Pendakwa raya berkata tertuduh membenci pekerjaannya dan melakukan salah satu pembunuhan supaya dia tidak dipecat.

Mahkamah juga diberitahu bahawa dia pernah disabitkan dengan kesalahan menipu di Poland dan dipenjarakan antara 2008 dan 2014. - AFP

Berita Harian X