Rabu, 23 September 2020 | 8:01am
Gambar hiasan
Gambar hiasan

72 juta dos vaksin diagih kepada Kanada

PARIS: Firma farmaseutikal Perancis Sanofi dan GSK Britain berjanji akan memberikan 72 juta dos vaksin COVID-19 mereka kepada kerajaan Kanada, selepas menandatangani perjanjian berkaitan dengan beberapa syarikat Amerika.

Kedua-dua syarikat itu merancang mendapatkan kelulusan persetujuan peraturan untuk vaksin menjelang pertengahan tahun depan dan sudah menjalankan ujian klinikal ke atas manusia pada awal September dengan kira-kira 440 pesakit diuji.

"Bagi mengatasi krisis kesihatan global besar-besaran ini, kami berterima kasih kepada Kanada atas kerjasama negara itu dan juga kepada GSK atas usaha sama untuk membangunkan dengan selamat dan berkesan," kata Timbalan Presiden Sanofi Pasteur, Thomas Triomphe dalam satu kenyataan.

Bakal vaksin itu dibangunkan Sanofi dengan kerjasama GSK, menggunakan teknologi yang sudah digunakan firma itu dalam penghasilan vaksin influenza bermusim dan pada ejen imunologi yang dibangunkan GSK.

Kanada sudah menandatangani perjanjian pada Ogos lalu berkaitannya membabitkan firma Amerika seperti Novavax, Johnson & Johnson, Pfizer dan Moderna.

Semalam, Menteri Perolehan Kanada memaklumkan Ottawa turut meminta Moderna menyediakan 14 juta dos tambahan vaksin keluarannya.

"Secara keseluruhan, Kanada sedang memastikan negaranya mempunyai akses sekurang-kurangnya 154 juta dos vaksin dan jumlah maksimum sebanyak 262 juta dos bagi melindungi dan menyelamatkan nyawa rakyatnya," katanya dalam satu sidang media.

Ottawa juga mengumumkan perjanjian dengan Gilead Sciences dan McKesson Canada untuk menyediakan hingga 150,000 botol remdesivir, iaitu sejenis ubat antivirus yang digunakan dalam rawatan pesakit COVID-19 yang kritikal.

Hujung Julai lalu, Kanada meluluskan penggunaan ubatan itu.

Sehingga semalam, Kanada yang mempunyai kepadatan penduduk 38 juta orang, sudah merekodkan lebih 146,000 jangkitan dan 9,269 kematian.

Dilaporkan beberapa negara sudah menempah dos calon vaksin dari Sanofi dan GSK iaitu kira-kira 60 juta dos diperuntukkan kepada Britain, Suruhanjaya Eropah (300 juta) dan Amerika Syarikat 100 juta dengan pilihan hingga 500 juta dos tambahan dalam jangka masa panjang. -AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X