Khamis, 3 September 2020 | 8:30am
Canselor Jerman, Angela Merkel. - Foto AFP
Canselor Jerman, Angela Merkel. - Foto AFP

Pemimpin pembangkang Russia diracuni cetus kemarahan

BERLIN: Canselor Jerman, Angela Merkel, menuntut jawapan daripada Kremlin berhubung kenyataannya bahawa pemimpin pembangkang Russia, Alexei Navalny yang juga pengkritik paling lantang Presiden Vladimir Putin, diracuni dengan agen saraf, Novichok, sekali gus mencetuskan kecaman di Barat.

Beliau berkata, Jerman mengecam tindakan itu sekeras-kerasnya dengan menyifatkan bahawa Navalny adalah mangsa terhadap perbuatan jenayah.

"Sudah pasti Navalny adalah mangsa jenayah kerana beliau sepatutnya berdiam diri dan mewakili kerajaan Jerman, saya mengecam tindakan ini," kata Merkel.

Insiden terbaharu dalam siri serangan panjang terhadap pemimpin pembangkang Russia menimbulkan ketegangan antara Moscow dan negara Barat.

Malah, Markel menyatakan bahawa terdapat beberapa persoalan serius yang hanya Russia sahaja boleh menjawabnya.

Selain itu, beberapa pemimpin Eropah lain turut menggunakan kenyataan paling kuat untuk mengecam serangan itu termasuk Perdana Menteri Britain, Boris Johnson yang menyebutnya sebagai 'melampau'.

Menteri Luar Perancis, Jean-Yves Le Drian pula menyatakan ia sebagai 'mengejutkan dan tidak bertanggungjawab', manakala Ketua Kesatuan Eropah, Ursula von der Leyen mengkritiknya sebagai 'sekali lagi tindakan keji dan pengecut'.

Jurucakap Majlis Keselamatan Nasional Amerika Syarikat (AS), John Ullyot dalam ciapannya di Twitter menyebut bahawa rakyat Russia mempunyai hak untuk melontarkan pandangan mereka dengan aman tanpa rasa takut terhadap sebarang pembalasan apapun khususnya terhadap agen kimia itu.

Ujian dari makmal senjata kimia daripada angkatan bersenjatanya, kerajaan Jerman melalui kenyataan awal bahawa terdapat bukti nyata daripada sampel yang diambil dari Navalny bahawa agen Novichok bertaraf tentera digunakan.

Ketua Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Jens Stoltenberg, mengecam penggunaan agen saraf bertaraf tentera yang disifatkan mengejutkan, sekali gus meminta siasatan penuh dan telus oleh Russia harus disegerakan.

Agen saraf itu yang namanya bermaksud 'pemula' atau pendatang baharu dalam bahasa Russia adalah racun yang dibangunkan oleh kerajaan Soviet ketika berakhirnya Perang Dingin dalam bentuk serbuk sangat halus, cecair atau wap.

Navalny, 44, jatuh sakit selepas menaiki pesawat di Siberia bulan lalu, dengan pembantunya mengatakan mereka mengesyaki ia berpunca daripada secawan teh pahit yang diminum pemimpin itu ketika di lapangan terbang. - AFP

Berita Harian X