Isnin, 24 Ogos 2020 | 12:28pm
Pengunjung pulang dari pulau Sardinia menggunakan feri menunggu giliran ujian saringan yang diwajibkan oleh kerajaan Itali. - Foto AFP
Pengunjung pulang dari pulau Sardinia menggunakan feri menunggu giliran ujian saringan yang diwajibkan oleh kerajaan Itali. - Foto AFP

COVID-19: Kes Itali naik dua kali ganda

ROM: Kes COVID-19 yang direkodkan di Itali hampir dua kali ganda dalam tempoh lima hari lalu, dengan lebih 1,200 kes semalam.

Peningkatan itu ada kaitan rapat dengan pengembaraan dan hiburan musim panas, menurut laporan rasmi.

Itali merekodkan sebanyak 1,210 kes dalam tempoh 24 jam lalu, berbanding 642 pada Rabu, menurut angka terkini rasmi.

Pada Sabtu, 1,071 kes direkodkan, dengan 947 kes pada Jumaat dan 845 pada Khamis.

Kes paling tinggi direkodkan di wilayah Lombardy utara dengan 239 kes, disusuli dengan wilayah Rom merekodkan 184 kes dan wilayah Venice dengan 145 kes.

Tujuh kematian lagi direkodkan pada Sabtu, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 35,437 orang maut akibat COVID-19 di Itali, sejak negara itu dilanda wabak berkenaan.

Walaupun terdapat peningkatan kes yang berterusan, Menteri Kesihatan, Roberto Speranza menolak untuk melaksanakan semula perintah berkurung dengan alasan keadaan di negara itu masih terkawal.

Itali ketika ini merekodkan 18,438 kes, termasuk 69 pesakit dalam rawatan intensif.

Lebih 200,000 rakyat Itali pulih dari penyakit ini dalam tempoh beberapa bulan lalu.

Penolong Ketua Pengarah Inisiatif Strategik di Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Ranieri Guerra, berkata peningkatan kes itu sebahagiannya, berikutan peningkatan ujian saringan yang dijalankan.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X