Khamis, 20 Ogos 2020 | 2:18pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

COVID-19: Jerman catat kes harian tertinggi sejak April

BERLIN: Jerman merekodkan 1,707 kes baharu COVID-19 dalam tempoh 24 jam, jumlah harian tertinggi sejak April.

Berbanding negara Eropah lain, Jerman dilihat lebih berjaya dalam menangani penularan virus itu sebelum kes meningkat dengan ketara sepanjang cuti musim panas.

Sebilangan besar angka itu disumbangkan pengembara percutian, pesta dan perjumpaan keluarga.

Angka yang dilaporkan Institut Robert Koch (RKI) untuk penyakit berjangkit menjadikan jumlah jangkitan kini 228,621 kes sejak bermulanya wabak itu.

Sepuluh kematian baharu dilaporkan dalam tempoh 24 jam terakhir, menjadikan jumlah keseluruhan 9,253.

Menghadapi lonjakan kes, Jerman awal bulan ini memperkenalkan ujian mandatori percuma bagi sesiapa yang kembali dari kawasan yang dianggap berisiko tinggi untuk dijangkiti COVID-19.

Canselor Angela Merkel memberi amaran pada Selasa bahawa tidak akan ada kelonggaran sekatan COVID-19.

Beliau mendesak warga Jerman untuk mengikuti peraturan pencegahan kebersihan dan mengingatkan pelancong yang pulang dari kawasan berisiko bahawa kuarantin bukanlah pilihan "tetapi harus" selagi mereka tidak dapat menunjukkan ujian negatif.

Namun, beberapa pakar mengatakan bahawa lonjakan jumlah jangkitan mungkin didorong daripada peningkatan ujian saringan di negara itu.- AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X