Khamis, 13 Ogos 2020 | 10:35pm
Petugas kesihatan mengambil sampel COVID-19 di Hanoi, hari ini. - Foto AFP
Petugas kesihatan mengambil sampel COVID-19 di Hanoi, hari ini. - Foto AFP

Korban COVID-19 global melepasi 750,000 kes

PARIS: Jumlah korban pandemik COVID-19 melepasi 750,000 orang seluruh dunia hari ini sejak ia mula menular di China Disember lalu, menurut data dikumpulkan AFP menerusi sumber sahih.

Sebanyak 20. 67 juta kes jangkitan membabitkan 750,003 kes kematian akibat COVID-19 direkodkan di seluruh dunia setakat ini.

Amerika Latin dan Carribean adalah wilayah paling teruk terjejas dengan merekodkan 228,572 kes kematian.

Hampir separuh daripada keseluruhan kes kematian global dilaporkan berlaku di empat negara paling teruk terjejas, masing-masing 166,038 kes di Amerika Syarikat (AS); 104,201 kes di Brazil; Mexico (54,666 kes) dan India (47,033 kes).

Keseluruhannya, bilangan mangsa maut akibat COVID-19 meningkat dua kali ganda sejak 2 Jun lalu, dengan 100,000 orang maut dalam tempoh 17 hari lalu.

Di Amerika Latin dan Carribean, lebih 18,600 kematian berlaku sejak minggu lalu, manakala Kanada dan AS pula melebihi 8,000; Asia (7,800); Afrika (hampir 2,700) dan Eropah (hampir 2,600).

Secara keseluruhan, Oceania muncul sebagai negara paling kurang terjejas apabila hanya merekodkan 24,000 kes jangkitan membabitkan kurang 400 kematian akibat COVID-19.

Selain itu, Afrika mencatatkan kira-kira 24,000 kes kematian berbanding keseluruhan 1.1 juta kes jangkitan COVID-19. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X