Rabu, 24 Jun 2020 | 10:30am
Petugas barisan hadapan membuat persiapan sejajar arahan perintah berkurung baharu di seluruh daerah Guetersloh. - FOTO AFP
Petugas barisan hadapan membuat persiapan sejajar arahan perintah berkurung baharu di seluruh daerah Guetersloh. - FOTO AFP

COVID-19: Jerman arah perintah berkurung baharu di dua daerah

GUETERSLOH (JERMAN): Pihak berkuasa Jerman semalam mengarahkan perintah berkurung baharu dilaksanakan di dua daerah, iaitu yang pertama sejak pelonggaran sekatan akibat wabak COVID-19, sekali gus menjejaskan harapan untuk kehidupan kembali normal.

Perintah berkurung di Guetersloh dan Warendorf di barat Jerman itu dikuatkuasakan selepas wabak berkenaan dikesan di sebuah pusat penyembelihan yang menjangkiti lebih 1,500 pekerja.

"Buat kali pertama di Jerman, seluruh daerah akan kembali tertakluk kepada peraturan yang dilaksanakan beberapa minggu lalu," kata pemimpin North Rhine-Westphalia, Armin Laschet, ketika mengumumkan perintah terbabit bagi Guetersloh.

Laschet berkata, perintah berkurung itu yang menjejaskan kira-kira 360,000 penduduk, akan berkuat kuasa sekurang-kurang hingga 30 Jun ini.

Menteri Kesihatan North Rhine-Westphalia, Karl-Josef Laumann, kemudian mengarahkan perintah sama dilaksanakan di Warendorf yang membabitkan 278,000 penduduk.

Penularan wabak itu di pusat penyembelihan kendalian syarikat daging Toennies yang mempunyai 7,000 pekerja di negeri berpenduduk paling padat di Jerman, adalah terbesar selepas negara ini mula menarik balik perintah berkurung pada awal bulan lalu.

Pihak berkuasa di seluruh Jerman bersetuju untuk menarik 'brek kecemasan' dan melaksanakan semula sekatan sosial sekiranya kadar jangkitan meningkat melebihi 50 kes bagi setiap 100,000 penduduk dalam tempoh seminggu di sesebuah daerah.

Kadar jangkitan di Guetersloh melepasi paras itu dengan mencatatkan 263 kes untuk setiap 100,000 penduduk pada Isnin lalu.

Laschet berkata, perintah berkurung baharu itu bermakna kembali kepada penguatkuasaan langkah diperkenalkan pada Mac lalu di mana pawagam, muzium, dewan konsert, bar, gimnasium, kolam renang tertutup dan sauna tidak dibenarkan beroperasi.

Selain itu, sekolah dan prasekolah juga ditutup lebih awal daripada cuti yang dijadualkan bermula hujung minggu ini. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X