Isnin, 15 Jun 2020 | 2:47pm
Penunjuk perasaan yang menyertai demonstrasi anti perkauman ‘Black Lives Matter’ di tengah bandar Leeds, utara England, Sabtu lalu. - Foto AFP
Penunjuk perasaan yang menyertai demonstrasi anti perkauman ‘Black Lives Matter’ di tengah bandar Leeds, utara England, Sabtu lalu. - Foto AFP

UK tubuh suruhanjaya khas siasat dikriminasi kaum golongan minoriti, kulit hitam

LONDON: Satu suruhanjaya bersilang kerajaan akan ditubuhkan bagi menyiasat bagaimana isu perkauman dalam sistem pendidikan, kesihatan dan kehakiman jenayah memberi kesan kepada golongan kulit hitam serta kumpulan minoriti di Britain, umum Perdana Menteri Boris Johnson.

"Kita akan melaksanakan satu usaha besar yang akan diumumkan tidak lama lagi, satu suruhanjaya bersilang kerajaan untuk melihat apa yang berlaku ke atas penduduk kulit hitam dan etnik minoriti lain, serta memperjuangkan kejayaan mereka," katanya.

Langkah berkenaan adalah bagi mengakhiri diskriminasi perkauman dan ketidakadilan di negara ini, selain membuka lebih banyak peluang pelajar kulit hitam serta etnik minoriti melanjutkan pengajian ke universiti, seperti dipetik agensi berita Xinhua.

"Apa yang mahu saya lakukan sebagai Perdana Menteri ialah mengubah jalan cerita, jadi kita hentikan semua diskriminasi ini.

"Kita hentikan diskriminasi, kita singkirkan perkauman dan cipta kejayaan sebenar. Itu yang mahu saya lakukan. Tetapi ia bukan mudah," katanya.

Kenyataan Johnson itu dibuat susulan siri tunjuk perasaan anti perkauman di seluruh Britain, dicetuskan oleh insiden kematian lelaki kulit hitam, George Floyd ketika dalam tahanan polis di Minneapolis Mei lalu.

Lebih daripada 100 peserta ditahan pada tunjuk perasaan Sabtu lalu di London, yang kemudiannya bertukar ganas dan menyebabkan enam pegawai polis cedera.

Ia berlaku selepas 200 orang melanggar perintah berkurung pada jam 5 petang (waktu tempatan) di sekitar tugu Churchill di Dataran Parlimen Sabtu lalu.

Polis bertindak menutup dua jambatan pejalan kaki antara Embankment dan Waterloo, ketika penyokong kempen 'Black Lives Matter' cuba menggunakan laluan itu untuk memasuki bahagian utara ibu negara.

Insiden berkenaan dikecam Johnson yang berkata, kerajaan tidak akan berkompromi dengan sebarang keganasan dan individu yang bertanggungjawab menyerang polis akan dikenakan hukuman setimpal.

"Tunjuk perasaan ini bertukar ganas dan melanggar peraturan ditetapkan. Perkauman tidak ada tempat di UK dan kita perlu bekerjasama menjadikan ia realiti," katanya menerusi Twitter. - AGENSI

Berita Harian X